KUALA LUMPUR: Saingan regu Divisyen 1 pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di sini bulan depan terpaksa dibatalkan susulan penarikan diri majoriti pasukan yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata 10 daripada 12 pasukan yang dijadualkan bertanding dalam divisyen berkenaan sah menarik diri.
Advertisement
“Daripada 12 pasukan dalam Divisyen 1, 10 telah menarik diri. Ada permohonan untuk naik ke Divisyen Premier tetapi itu tidak boleh dilaksanakan.
“Jadi, kami rasa sedih tidak dapat melaksanakan saingan Divisyen 1 tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Undian Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini hari ini.
Sepuluh pasukan yang menarik diri ialah Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Kanada, Poland, Perancis, Amerika Syarikat, Timor-Leste, Arab Saudi dan Oman sementara Pakistan dan Iraq kekal ingin bersaing.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 23 Mei di Stadium Titiwangsa itu bagaimanapun tetap diteruskan bagi divisyen lain, termasuk Divisyen Premier yang menampilkan 14 pasukan.
-- BERNAMA