GLASGOW: Tahap kesukaran rutin mampu menjadi senjata utama atlet gimnastik artistik negara Ng Chun Chen dalam memburu pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadualkan bermula dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Chun Chen berkata tidak ramai pesaing di Glasgow memiliki lompatan dengan tahap kesukaran sepertinya, sekali gus memberi ruang untuk mencabar kelompok terbaik dan mengintai kedudukan podium.
Beliau yang bakal membuat penampilan pertama pada Sukan Komanwel bagaimanapun berkata kelebihan itu hanya bermakna sekiranya disertai persembahan kemas dan konsisten sewaktu pertandingan.
“Dari segi tahap kesukaran, saya rasa tidak ramai gimnas di sini melakukan lompatan seperti saya. Itu mungkin memberi satu peluang tetapi saya tetap perlu melakukan yang terbaik.
“Kalau tahap kesukaran tinggi tetapi pelaksanaannya tidak baik, hasilnya tetap sama. Jadi, saya perlu kekal konsisten,” katanya ketika ditemui Bernama selepas sesi latihan skuad gimnastik artistik kebangsaan di Glasgow International Arena di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau mengakui persiapannya tidak berjalan lancar apabila keadaan fizikal sedikit terganggu selain berdepan masa penyesuaian yang singkat selepas tiba lewat berbanding kebiasaan.
“Buat masa ini, semuanya masih boleh dikawal dan saya masih mampu menyesuaikan diri dengan peralatan serta keadaan tempat pertandingan. Apabila tiba hari pertandingan, kami perlu memberikan yang terbaik. Tiada ruang untuk alasan dan apa juga yang berlaku, kami perlu hadapinya,” katanya.
Chun Chen turut menyifatkan sesi latihan hari ini berlangsung dengan pantas, sekali gus mengehadkan masa gimnas menyesuaikan diri dengan peralatan serta suasana dewan pertandingan.
Namun, beliau berkata pengalaman beraksi di pelbagai kejohanan sebelum ini membantu dirinya berdepan perbezaan peralatan dan keadaan pertandingan.
“Peralatan di setiap negara dan benua tidak sama. Jadi, cabaran utama ialah menyesuaikan diri secepat mungkin. Kami sudah berada di sini, jadi segala perkara negatif perlu diketepikan. Fokus sekarang adalah untuk memberikan segala-galanya ketika pertandingan,” katanya.
Saingan gimnastik artistik dijadualkan berlangsung dari Jumaat hingga Selasa ini.
Selain Chun Chen, skuad lelaki negara turut dibarisi Muhammad Sharul Aimy dan Luqman Al Hafiz Zulfa manakala cabaran wanita digalas Rachel Yeoh, Yeap Kang Xian dan Cadence Teh.
-- BERNAMA