KUALA LUMPUR: Kejayaan kontinjen Malaysia melepasi sasaran lima pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang akan melabuhkan tirai esok mencerminkan kekuatan ekosistem sukan negara.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kekuatan itu hasil kerjasama erat antara kementerian, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, persatuan sukan kebangsaan serta semua pihak yang sentiasa komited dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi.
“Saya bersama-sama seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan yang cukup membanggakan pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Kejayaan ini lahir daripada dedikasi, disiplin, semangat juang serta pengorbanan luar biasa para atlet, jurulatih dan seluruh anggota kontinjen demi mengharumkan nama negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat hari ini, kontinjen negara telah mengumpul tujuh pingat emas, masing-masing tiga perak dan gangsa, melangkaui sasaran awal lima emas, dua perak dan empat gangsa.
Justeru, Dr Mohammed Taufiq berkata KBS akan terus komited dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan negara, terutama untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia dan mengharumkan nama Malaysia pada pentas sukan antarabangsa.
Walaupun Sukan Komanwel Glasgow 2026 belum berakhir, beliau tetap menyeru seluruh rakyat agar terus memberikan sokongan dan menitipkan doa buat atlet negara yang akan beraksi di bumi Scotland hingga esok.
Pada masa yang sama, beliau berharap pencapaian Sukan Komanwel kali ini di bawah pimpinan ketua kontinjen Datuk Awalan Abdul Aziz menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada pentas antarabangsa bermula dengan Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun serta Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia.
-- BERNAMA