Skip to main content

Malaysia

TFC pulang dengan tiga mata di Stadium Selayang

SELAYANG, 6 Mac -- Pemain Terengganu FC, Muhamad Alif Zakaria (kiri) cuba melepasi pemain Kelantan The Real Warriors FC Muhammad Syafik Ismail (dua, kiri) pada saingan Liga Super antara Kelantan The Real Warriors FC Menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain Terengganu FC, Muhamad Alif Zakaria (kiri) cuba melepasi pemain Kelantan The Real Warriors FC, Muhammad Syafik Ismail (dua, kiri) pada saingan Liga Super antara Kelantan The Real Warriors FC Menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC)  membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors(TRW) 2-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Terengganu terlebih dahulu mengancam pada minit ke-13 menerusi penyerang mereka, Gervane Kastaneer namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol, Damyan Valeriy Damyanov.

Advertisement

Terengganu kemudian menggandakan asakan melalui gandingan Panshanbe Ehsoni kapten Raianderson Da Costa Morais tetapi peluang itu gagal disudahkan dengan baik.

Pada minit ke-31, Kastaneer sekali lagi memperoleh peluang menjaringkan gol melalui rembatan dari luar kotak penalti, namun masih belum menemui sasaran.

Secara keseluruhan, babak pertama menyaksikan Terengganu menguasai permainan, manakala Kelantan gagal menghasilkan sebarang percubaan berbahaya.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu terus meningkatkan tekanan dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-58 apabila Kastaneer menolak masuk bola dari jarak dekat selepas menerima hantaran pendek rakan sepasukan tanpa kawalan ketat.

Kelantan akhirnya mencatatkan percubaan tepat pada minit ke-80 melalui kapten Muhammad Nor Azam Abdul Azih namun rembatan jarak jauhnya gagal menepati sasaran.

Terengganu mengesahkan kemenangan dengan gol kedua pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mabatshoev pada minit ke-90+5.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video