KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail hari ini berkenan menerima menghadap pemilik bersama Chelsea FC, Behdad Eghbali di Johor.
Pertemuan tersebut berlangsung menjelang aksi persahabatan antarabangsa antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam ini.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.
Memetik laporan media, setakat semalam lebih 25,000 tiket sudah terjual bagi menyaksikan pertembungan JDT berdepan skuad kendalian Xabi Alonso.
Sementara itu, laporan portal The Observer, yang memetik Tunku Mahkota Ismail sebagai berkata, pencapaian JDT termasuk rekod tanpa kalah dalam saingan liga yang bermula pada April 2021, bukan semata-mata untuk memburu rekod dunia.
Sebaliknya, titah baginda ia adalah hasil daripada usaha kelab membina standard tinggi dalam pelbagai aspek.
"Rekod dunia bukan matlamat. Ia adalah hasil sampingan. Apabila anda membina dengan cara yang betul seperti akademi, kemudahan latihan, sains perubatan dan budaya kemenangan, (kemudian) rekod akan datang sendiri.
"Kita tidak mengejar rekod. Kita mengejar standard dan rekod adalah hasil apabila standard kita cukup tinggi untuk tempoh yang cukup lama," titah Tunku Mahkota Ismail.
Dalam pada itu, memetik laporan sama, Edwards berkata perubahan yang berlaku terhadap JDT sejak 2013 disifatkan sebagai amat ketara.
Edwards, yang pernah membantu JDT memenangi gelaran Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada 1991, berkata keadaan kelab ketika itu jauh berbeza berbanding hari ini, khususnya dari segi kemudahan latihan dan infrastruktur.
"Jika dibandingkan dari segi kemudahan, ia seperti langit dan bumi. Pada 2013 apabila Tunku Mahkota memulakan usaha bersama kelab, keadaannya sama seperti ketika saya berusia 20 tahun. Baginda benar-benar bermula dari kosong," katanya.