GLASGOW: Kontinjen Malaysia melepasi sasaran lima pingat emas pada hari keenam Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas atlet angkat berat, Mohamad Syahmi Nor Ghazali menghadiahkan emas keenam negara menerusi kategori 94 kilogram (kg) lelaki pada Rabu.
Mohamad Syahmi meneruskan penguasaan luar biasa kem angkat berat negara apabila mengungguli saingan di Scottish Event Campus Armadillo dengan angkatan keseluruhan 347kg.
Beliau hanya dipisahkan satu kilogram dengan pemenang pingat perak Alex Bellemarre dari Kanada yang mencatat 346kg manakala wakil Australia Oliver Riley Saxton meraih gangsa dengan 336kg.
Kejayaan Mohamad Syahmi menyaksikan kem angkat berat menyumbang lima daripada enam emas negara setakat ini selepas Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat dan Muhammad Hafizuddin Roslin masing-masing turut menaiki podium.
Satu lagi emas negara disumbangkan jaguh lompat jauh para Datuk Abdul Latif Romly dalam acara T20 lelaki manakala dua perak diraih menerusi Izzat Shameer Dzulkeple dalam singles lelaki boling padang serta gandingan Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dalam pairs wanita.
Malaysia kini mengumpul enam emas, dua perak dan tiga gangsa, sekali gus melepasi sasaran lima emas yang ditetapkan kontinjen bagi temasya kali ini. Sasaran asal kontinjen ialah lima emas, dua perak dan empat gangsa.
Di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Arvin Shaun Singh Chahal dan Lim Yin Chuen menduduki dua tempat teratas saringan satu acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki, namun gagal mara ke final.
Khiew Hoe Yean pula memenangi slowest heat 1,500m gaya bebas lelaki dengan catatan 15 minit 29.30 saat (s) namun gagal meraih pingat selepas keputusan keseluruhan ditentukan menerusi format timed final.
Dalam renang para, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menamatkan final 50m gaya bebas S7 lelaki di tempat keenam dengan catatan 34.62s selepas merekodkan 35.05s pada peringkat saringan.
Di Stadium Scotstoun, atlet olahraga para Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi menamatkan saringan dua acara 100m T12 lelaki di tempat ketiga dengan catatan 11.23 saat (s), sekali gus gagal layak ke final.
Kem boling padang turut mencatat keputusan positif apabila pasangan lelaki Amirul Danial Abdul Rahim-Mohammad Soufi Rusli menewaskan wakil Jersey Ross Davis-Malcolm de Sousa menerusi tie-break.
Kedua-dua pasangan terikat 1-1 sebelum gandingan negara memenangi tie-break 1-0 dalam saingan peringkat kumpulan.
Emma Firyana Saroji pula meneruskan langkah positif dalam acara singles wanita selepas menewaskan wakil Zambia Mildred Mkandawire 2-0.
Bagaimanapun, pasangan boling padang para wanita B6-B8 Norazian Daud-Jariah Zakaria tewas 0-2 kepada gandingan New Zealand Julie O’Connell-Teri Blackbourn dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan.
Dalam carta kedudukan pingat setakat 9 malam (4 pagi waktu Malaysia), kontinjen negara menghuni kedudukan ketujuh manakala Australia semakin gah di posisi teratas dengan 44 emas, 21 perak dan 34 gangsa, diikuti Kanada kedua (13, 11, 14) dan England ketiga (12, 25, 16).
-- BERNAMA