LOS ANGELES: Pelakon dan pemuzik Hollywood, Jared Leto berdepan dakwaan salah laku seksual jenayah daripada empat wanita yang mendakwa insiden berkenaan berlaku ketika mereka masih remaja.
Dakwaan itu didedahkan menerusi dokumentari BBC berjudul Jared Leto: Hollywood's Dark Secret yang menampilkan pengakuan 10 wanita mengenai tingkah laku seksual yang didakwa tidak wajar melibatkan pemenang Anugerah Oscar tersebut.
Sembilan daripada mereka tampil berkongsi pengalaman masing-masing secara terbuka buat kali pertama.
Menurut dokumentari berkenaan, seorang wanita mendakwa Leto menyerangnya secara seksual di bilik air sebuah motel ketika beliau berusia 17 tahun.
Seorang lagi wanita mendakwa, pelakon itu mengugutnya dengan serangan seksual ketika berusia 19 tahun.
Seorang wanita lain pula mendakwa pernah mengadakan hubungan seks dengan Leto ketika berusia 17 tahun, manakala seorang lagi mendakwa pelakon itu membuat panggilan telefon berunsur seksual secara berulang kali ketika beliau berusia 16 tahun serta mencadangkan mereka mengadakan hubungan seks.
Wanita terbabit turut mendakwa, dia pernah diminta menandatangani perjanjian kerahsiaan bagi menghalangnya daripada bercakap mengenai hubungan tersebut, namun enggan berbuat demikian.
Selain empat dakwaan utama itu, beberapa wanita lain turut mendakwa menerima panggilan telefon yang bersifat seksual daripada Leto ketika mereka masih muda.
Dokumentari itu turut memaparkan keterangan dua individu yang pernah bekerja dengan kumpulan muzik Thirty Seconds to Mars, yang mendakwa kakitangan berasa kurang selesa dengan cara Leto berinteraksi dengan remaja perempuan.
Kesemua wanita yang tampil dalam dokumentari berkenaan mendakwa insiden itu berlaku antara 2002 hingga 2016 ketika Leto berada dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an.
Pelakon yang kini berusia 54 tahun itu terkenal menerusi filem Dallas Buyers Club serta sebagai vokalis kumpulan rock Thirty Seconds to Mars.
BBC turut melaporkan, beberapa dakwaan tersebut disokong oleh keterangan ahli keluarga dan rakan-rakan yang dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan pada waktu itu.
Penyiar berkenaan juga memaklumkan, mereka telah meneliti gambar dan mesej yang didakwa menyokong sebahagian pengakuan wanita terbabit.
Bagaimanapun, Leto menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, tidak pernah melakukan serangan seksual terhadap sesiapa sepanjang hidupnya dan menyifatkan semua dakwaan berkenaan sebagai tidak benar. - Agensi