Skip to main content

Sukan

Allstar Sports mahu terus anjur perlawanan Allstar Legends

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol (tiga dari kiri, belakang) bersama barisan pemain AllStar Legends dalam Perlawanan All-Star di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, malam tadi. AllStar Premier League Legends memenangi pingat selepas menewaskan World Legends 7-6. - Gambar Bernama
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol (tiga dari kiri, belakang) bersama barisan pemain AllStar Legends dalam Perlawanan All-Star di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, malam tadi. AllStar Premier League Legends memenangi pingat selepas menewaskan World Legends 7-6. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sambutan menggalakkan terhadap perlawanan AllStar Legends di Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, mendorong AllStar Sports menganjurkan sekali lagi acara seumpama itu pada masa akan datang termasuk membawa lebih ramai legenda atas permintaan peminat.

Pengarah Projek AllStar Sports, Steven Windsor berkata, pihaknya melihat acara berkenaan sebagai platform untuk mendekatkan peminat dengan pemain legenda dunia selain memenuhi permintaan penyokong yang mahukan lebih banyak pengalaman seumpama itu.

“Kita memang ada perancangan untuk mengadakan aktiviti ataupun acara seperti ini kerana kita mahu mencipta pengalaman untuk penyokong yang mahu berada lebih dekat dengan pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan AllStar Legends malam tadi, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.

Beliau juga berkata, penganjuran kali ini mendapat sambutan amat menggalakkan walaupun terdapat perubahan venue yang mungkin memberi sedikit kesulitan kepada penyokong.

Mengulas kemungkinan membawa muka baharu pada penganjuran akan datang, Steven berkata, kerjasama dengan World Football Legends membolehkan pihaknya mendapat akses kepada rangkaian bekas pemain antarabangsa yang luas.

Perlawanan AllStar Legends, yang menghimpunkan bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) dan legenda bola sepak dunia, menjadi antara acara yang dinanti-nantikan peminat tempatan dengan barisan pemain antaranya bekas pemain Manchester United, Ryan Giggs.

Acara itu adalah kesinambungan penganjuran Battle of the Reds dua tahun lepas, menggunakan format perlawanan tertutup lima sebelah dengan pasukan AllStar Premier League Legends dibarisi John Arne Riise, Eidur Gudjohnsen, Danny Simpson, Ryan Giggs, Steven Gerrard, David Bentley, Michael Owen dan Syed Adney Syed Hussein. 

Pasukan AllStar World Legends pula menampilkan Javier Saviola, Jaap Stam, Fernando Morientes, Diego Capel, Dida, Alessandro Del Piero dan Gregory Van Der Wiel dan Razman Roslan.

Pada perlawanan malam ini, AllStar Premier League Legends menewaskan AllStar World Legends 7-6. 

Gol AllStar Premier League Legends dijaringkan oleh Gerrard, Riise, Bentley dan Owen manakala AllStar World Legends membolosi gawang lawan melalui Stam, Razman, Capel, Morientes dan Saviola. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement