KUALA LUMPUR: Selepas 12 tahun, rekod acara lompat jauh Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) akhirnya berjaya dipecahkan atlet kebangsaan Andre Anura Anuar apabila beliau melakukan lompatan sejauh 7.78 meter (m) pada edisi 2026 di Universiti Malaya (UM), di sini semalam.
Mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), Andre Anura, yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2025, memadam rekod lama 7.53m milik Lukman Hakim Ramlan yang dicatatkan pada 2014.
Catatan berkenaan turut menyaksikan Andre Anura berada pada landasan terbaik untuk memburu tiket ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, namun beliau masih menunggu pengesahan rasmi daripada Olahraga Malaysia (MA) berhubung senarai akhir atlet yang akan membawa cabaran negara ke temasya berkenaan.
"Saya sebenarnya sudah melepasi kelayakan ke Sukan Asia kerana jurulatih ada memberitahu bahawa jika saya boleh melakukan lompatan 7.60m, kami boleh teruskan ke Sukan Asia.
"Tetapi apa-apa pun, kami masih menunggu daripada Olahraga Malaysia. Kami pun tidak berani mengatakan sama ada sudah layak atau tidak kerana senarai pendek (atlet) masih belum dikeluarkan.
"Mungkin selepas kejohanan Grand Prix di Oman, mereka akan membuat pengumuman rasmi. Jadi, soal layak atau tidak, kami masih menunggu kerana buat masa ini semua masih dalam senarai panjang," katanya kepada pemberita selepas saingan tamat.
Andre Anura yang dijadualkan berlepas ke Oman pada 3 Sept ini berkata beliau menyasarkan untuk memperbaharui catatan terbaik musimnya pada kejohanan di negara itu sebagai persiapan terakhir sebelum beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
"Selepas Oman, hanya tinggal kira-kira dua minggu sebelum Sukan Asia. Jadi, kalau boleh saya mahu mencatatkan ‘season best’ baharu dan kemudiannya mencapai kemuncak prestasi di Sukan Asia," katanya.
Dalam pada itu, atlet kelahiran Sabah itu berkata beliau berkemungkinan kembali beraksi dalam acara lompat kijang pada awal tahun depan sebagai persiapan menghadapi misi negara pada Sukan SEA Malaysia 2027.
"Untuk Sukan SEA tahun depan, mungkin saya akan mengambil bahagian dalam dua acara, iaitu lompat jauh dan lompat kijang, kerana kita mempunyai misi di Sukan SEA. Jadi, saya perlu memberikan komitmen dalam kedua-dua acara," katanya.
Dalam saingan semalam, pingat perak dimenangi atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhd Harith Haikal, dengan catatan 7.10m, manakala pingat gangsa menjadi milik Tan Zhi Hang daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) dengan catatan 7.00m.
-- BERNAMA