Skip to main content

Sukan

Astro AWANI raih tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak TNB-Media 2026

TB_ASTRO PIALA DUNIA TNB MEDIA 2026_AWANI
Skuad Astro AWANI raih tempat ketiga selepas menewaskan pasukan tuan rumah TNB menerusi penentuan sepakan penalti. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kehangatan aksi final Piala Dunia 2026 awal pagi esok dihangatkan lagi dengan penganjuran Kejohanan Bola Sepak TNB-Media pada Sabtu.

Sebanyak 12 pasukan daripada pelbagai agensi media termasuk Astro AWANI bertanding merebut piala kejohanan yang berlangsung di Padang Kilat, Kompleks Sukan TNB, di sini.

Menariknya, setiap pasukan beraksi dengan mengenakan jersi negara yang bertanding pada kejohanan Piala Dunia 2026.

Selain Astro AWANI yang menyarung jersi pasukan Belanda, 11 lagi agensi media yang menyertai kejohanan ialah TV3, NSTP, Sinar Harian, Bernama, Bernama TV, Astro Arena, RTM, Malaysia Gazette, Utusan Malaysia, Kosmo dan pasukan tuan rumah, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kali terakhir kejohanan seumpama itu dianjurkan oleh TNB adalah pada 2019.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Kamal Ariffin A. Rahman dalam ucapan perasmian berkata, kejohanan seumpama ini bukan sekadar platform pertandingan sukan, malah menjadi medium berkesan untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh kerjasama strategik serta menghargai sokongan berterusan pengamal media terhadap TNB.

"Media merupakan rakan strategik TNB dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat.

"Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja bersaing secara sihat di atas padang, malah membina hubungan yang lebih erat dan saling memahami di luar suasana kerja," kata beliau.

Kejohanan ini menyaksikan pasukan TV3 muncul sebagai juara, diikuti NSTP naib juara.

Skuad Astro AWANI pula meraih tempat ketiga selepas menewaskan pasukan tuan rumah, TNB menerusi penentuan sepakan penalti.

Kejayaan itu diserikan lagi apabila pemain Astro AWANI, Mohd Rashdan Adnan, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik kejohanan.

 

Must Watch Video

Advertisement