NAGOYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang terus mendapat kepercayaan Majlis Sukan Negara (MSN) apabila disenaraikan dalam program Olympic Pathway sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata Azizulhasni antara atlet yang telah dikenal pasti untuk diberikan tumpuan menerusi laluan persediaan itu, dengan perancangan khusus akan dilaksanakan bersama persatuan sukan berkaitan.
“Azizul adalah seorang daripada atlet yang telah pun diklasifikasi dan telah pun diberikan tumpuan bagi Olympic Pathway tersebut,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di sini, semalam.
Jefri berkata MSN sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan yang terlibat bagi memastikan setiap sukan mempunyai program tersendiri dalam menyediakan atlet untuk bersaing di LA28.
“Setiap sukan yang dinyatakan mempunyai program mereka sendiri bagi memastikan mereka dapat bersaing dan juga dapat menyumbangkan pingat di LA28,” katanya.
Beliau pada masa sama mengucapkan tahniah kepada pelumba yang diberi jolokan The Pocket Rocketman itu atas kejayaan meraih pingat emas acara keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Selain Azizulhasni, katanya Malaysia turut mempunyai prospek daripada sukan skuasy yang berpotensi menyumbang pingat emas pada temasya Olimpik akan datang.
“Jangan lupa kita ada dua orang lagi yang layak iaitu daripada sukan skuasy yang juga mempunyai potensi untuk menyumbang pingat emas di Sukan Olimpik,” katanya.
Azizulhasni, 38, meraih emas acara keirin dan gangsa bagi pecut di Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menutup penyertaannya sepanjang Sukan Asia dengan koleksi tiga emas, satu perak dan dua gangsa.
Kejayaan di Aichi-Nagoya turut mengukuhkan kedudukannya sebagai antara sandaran utama negara dalam usaha memburu kejayaan di pentas Olimpik LA28.
-- BERNAMA