GLASGOW: Muhamad Aznil Bidin bertekad mencipta sejarah sebagai atlet angkat berat Malaysia pertama memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel apabila turun beraksi dalam kategori 65 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, esok.
Atlet berusia 32 tahun itu berpeluang melengkapkan hatrik kejuaraan selepas muncul juara kategori 62kg pada edisi Gold Coast 2018 sebelum mempertahankan gelaran dalam kategori 61kg pada Birmingham 2022.
Muhamad Aznil berkata peluang menyamai pencapaian bekas badang negara Amirul Hamizan Ibrahim yang meraih dua pingat emas Sukan Komanwel, masing-masing pada edisi Manchester 2002 dan Delhi 2010, menjadi pembakar semangat untuk beliau melakar pencapaian lebih gemilang.
"Setakat ini belum ada atlet angkat berat negara yang memenangi tiga pingat emas di Sukan Komanwel.
"Saya akan cuba mencipta sejarah dengan mendapatkan emas ketiga. Itu impian saya dan menjadi pembakar semangat untuk saya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Muhamad Aznil yang menyasarkan jumlah angkatan keseluruhan 310kg berkata beliau sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi selepas tidak berdepan sebarang masalah menyesuaikan diri dengan keadaan di Glasgow.
Mengulas cabaran bakal dihadapi, beliau menjangkakan tentangan utama daripada wakil India dan Papua New Guinea.
Beliau berkata percaturan terbaik bagi menghadapi kedua-dua pencabar itu diserahkan sepenuhnya kepada jurulatih dalam misi mempertahankan gelaran.
Pada Birmingham 2022, Muhamad Aznil meraih emas kategori 61kg selepas mencatat jumlah angkatan 285kg menerusi 127kg dalam acara snatch dan 158kg bagi clean and jerk, sekali gus memecahkan rekod temasya.
Saingan angkat berat Glasgow 2026 dijadual berlangsung selama lima hari bermula esok di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo, di sini.
-- BERNAMA / Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif