Skip to main content

Sukan

Carolan mahu Speedy Tigers tampil lebih baik menentang Perancis

Brendon Carolan
Brendon Carolan percaya Perancis sebuah pasukan yang baik dan bakal memberikan cabaran sengit kepada anak buahnya. - Gambar fail/StadiumAstro
Advertisement

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan akan cuba melupakan kekalahan 1-5 kepada juara bertahan Jerman dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Sabtu dan menampilkan aksi yang jauh lebih baik menentang Perancis pada Isnin (hari ini) ketika meneruskan kempen Piala Dunia 2026 di Belgium.

Ketua jurulatih skuad Speedy Tigers, Brendon Carolan percaya Perancis sebuah pasukan yang baik dan bakal memberikan cabaran sengit kepada anak buahnya hari ini.

“Perancis telah memberikan saingan sengit kepada Belgium, malah mendahului lawan 2-0 sebelum Belgium bangkit menerusi beberapa pukulan sudut penalti pada lewat permainan.

“Seperti yang anda tahu, mereka beraksi dalam Pro League, jadi Perancis merupakan pasukan yang sangat baik. Sekali lagi, saya fikir kami perlu beraksi lebih baik berbanding pada Sabtu,” katanya dalam video yang dikongsikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia pada Ahad.

Pada Sabtu, Belgium yang menjuarai Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, menewaskan Perancis 3-2.

Selepas bertemu Perancis, Malaysia akan menamatkan saingan Kumpulan B menentang Belgium pada Rabu.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan berprestij itu ialah tempat keempat ketika menjadi tuan rumah pada 1975.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement