JAKARTA: Ketua jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji disiplin dan karakter anak buahnya selepas berjaya mengikat tuan rumah Indonesia tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini malam tadi.
Cheng Hoe berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan itu meskipun skuad negara memiliki beberapa peluang untuk membawa pulang kemenangan berharga dari gelanggang lawan.
“Saya agak berpuas hati dengan keputusan ini. Sudah tentu kami mencipta beberapa peluang dan terlepas beberapa daripadanya yang mungkin boleh mencetuskan suasana cukup istimewa sekiranya kami berjaya menewaskan Indonesia di laman mereka sendiri.
“Namun, sudah tentu masih ada ruang untuk kami perbaiki dan kami mahu memanfaatkan peluang beraksi dalam suasana seperti ini serta bersaing dengan Indonesia. Kami sememangnya tahu betapa bagusnya pasukan Indonesia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Cheng Hoe berkata, Malaysia tampil lebih baik dalam mengawal permainan pada babak kedua dan kekal tenang biarpun Indonesia memilih untuk bertahan lebih dalam selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Indonesia kehilangan pemain tengah, Thom Haye yang dilayangkan kad merah pada minit ke-37 susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Kadangkala dalam bola sepak, agak sukar untuk berdepan pasukan dengan 10 pemain kerana mereka akan mengubah pendekatan taktikal, bertahan lebih dalam dan lebih bergantung kepada serangan balas.
“Namun, saya tetap sangat gembira dengan pemain kerana mereka bermain seperti yang kami mahukan, kekal tenang dan mempunyai beberapa detik serta peluang yang sangat baik untuk menjaringkan gol,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia, John Herdman memuji penyokong tuan rumah yang menghidupkan suasana di GBK, khususnya pada 20 minit terakhir perlawanan.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir malam ini. Melihat stadium penuh serta mendengar dan merasai tenaga mereka pada 20 minit terakhir perlawanan, ia sesuatu yang cukup luar biasa.
“Itulah faktor X sebenar buat negara ini dan pemain kami. Kami sedang membina semangat persaudaraan dalam pasukan, mereka akan berjuang untuk satu sama lain dan demi matlamat yang sama, tetapi apabila anda mempunyai penyokong seperti ini, kita berjuang bersama-sama,” katanya.
Herdman turut berbangga dengan komitmen anak buahnya dan berharap penyokong kembali memenuhi GBK bagi aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Bangladesh.
“Kami kini bersedia untuk perlawanan ketiga yang menarik. Malaysia perlu menentang Singapura, lawan yang lebih sukar, manakala kami berpeluang berdepan Bangladesh. Kami tidak sabar menantikan perlawanan itu,” kata jurulatih kelahiran England berkenaan.
Malaysia akan menutup kempen peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada Khamis, manakala Indonesia berdepan Bangladesh di GBK pada hari sama.
Harimau Malaya kini menerajui Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi jumlah mata sama dengan Indonesia di tangga kedua, namun memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Singapura pula menduduki tempat ketiga dengan tiga mata, manakala Bangladesh kekal tercorot tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA