Skip to main content

Sukan

Chess Hub Titans juara catur berpasukan Piala PMX

Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof (dua, kiri) dan Akhramsyah Muammar (kanan) bersama pasukan Chess Hub Titans pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Catur Berpasukan Peringkat Kebangsaan 2026 Piala PMX di Dewan Aeon Mall Shah Alam, Shah Alam, 1 Jun 2026.  -- fotoBERNAMA
Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof (dua, kiri) dan Akhramsyah Muammar (kanan) bersama pasukan Chess Hub Titans pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Catur Berpasukan Peringkat Kebangsaan 2026 Piala PMX di Dewan Aeon Mall Shah Alam, Shah Alam, 1 Jun 2026. -- fotoBERNAMA
Advertisement

SHAH ALAM: Chess Hub Titans muncul juara Kejohanan Catur Terbuka Berpasukan Kebangsaan 2026 Piala PMX selepas mencatat rekod bersih tujuh kemenangan berturut-turut pada kejohanan tiga hari yang berakhir di AEON Mall, di sini, semalam.

Pasukan yang dianggotai Tan Jun Ying, 23, Kevin Mohan, 15, Chow Yi Chen, 12, dan Mukhriez Shah Mahmood Shah, 23, membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 berserta piala pusingan.

Tan yang mengetuai pasukan itu berkata kejayaan merangkul gelaran juara adalah di luar jangkaan mereka dan menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai sesuatu yang membanggakan.

Advertisement

“Pada awalnya kami hanya menyasarkan kedudukan podium, namun tidak menyangka mampu menamatkan kejohanan dengan rekod bersih,” katanya kepada Bernama selepas pertandingan itu.

Keputusan edisi ketiga kejohanan itu menyaksikan pasukan CLLC muncul naib juara, diikuti Penang TARUMT di tempat ketiga, manakala MIED Chess Squad dan Chess Hub Queens masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

Advertisement

Sementara itu, Presiden Persekutuan Catur Malaysia, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata pertandingan berkenaan dilaksanakan menerusi format berpasukan yang membabitkan empat pemain utama serta seorang pemain simpanan bagi setiap pasukan.

Beliau berkata catur bukan sahaja dimainkan secara individu, malah turut mempunyai elemen berpasukan dalam kebanyakan kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement