Skip to main content

Sukan

Danish hampir perbaharui rekod kebangsaan 200m di SUKIPT

61746363134_DanishIftikharMuha.jpg
Catatan 20.77s itu turut menyaksikan Danish memperbaiki rekod terbaik musimnya 20.85s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) bulan lalu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee hanya dipisahkan 0.04 saat (s) daripada memperbaharui rekod kebangsaannya dalam acara 200 meter (m) apabila mengungguli saingan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di UM Arena di sini, pelari yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mencatat masa 20.77s, sekali gus memecahkan rekod temasya 21.11s yang dilakukan Aravinn Thevarr dari Universiti HELP pada edisi 2016 yang juga catatan terbaiknya musim ini.

Catatan 20.77s itu turut menyaksikan Danish memperbaiki rekod terbaik musimnya 20.85s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) bulan lalu, selain hanya 0.04 saat daripada rekod kebangsaan 20.73s miliknya yang dilakar pada 2025.

Ia merupakan pingat emas kedua buat atlet kelahiran Johor berusia 19 tahun itu selepas mengungguli acara 100m semalam.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat memperbaharui catatan terbaik musim. Sebelum ini di SUKMA saya mencatat 20.85s dan di SUKIPT saya berjaya memperbaharuinya kepada 20.77s,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Dalam final 200m lelaki, rakan sepasukannya Aiman Ikhwan Yahya meraih pingat perak dengan catatan 21.39s, manakala Muhammad Haziq Muhammad Akhir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa pulang gangsa selepas merekodkan 21.43s.

Sementara itu, dalam kategori wanita, UPSI terus mendominasi acara pecut 200m apabila wakilnya Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka muncul juara dengan catatan 24.76s.

Pingat perak menjadi milik wakil UPM Nurul Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dengan catatan 25.02s, manakala Tay Shuen Min meraih gangsa selepas mencatat 25.09s.

“Saya tidak sangka boleh menang kerana saya rasa badan saya tidak cukup bersedia untuk 200m kerana asyik menyertai acara lari berganti-ganti.

“Jadi, saya sangat berpuas hati dengan catatan masa hari ini kerana dapat mencatat rekod terbaik musim,” katanya yang meraih pingat perak dalam final 100m semalam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement