Skip to main content

Sukan

De la Fuente yakin detik terbaik Lamine Yamal di Piala Dunia masih menanti

Spain's Lamine Yamal responds to a question during a news conference Monday, July 13, 2026, in Arlington, Texas, ahead of the team's World Cup semifinal soccer match against France. (AP Photo/Tony Gutierrez)
Pemain Sepanyol, Lamine Yamal, menjawab soalan media semasa sidang akhbar menjelang perlawanan separuh akhir Piala Dunia. - Foto AP
Advertisement

DALLAS: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, percaya detik paling gemilang pemain muda sensasi negara itu, Lamine Yamal, di pentas Piala Dunia masih belum tiba dan berkemungkinan berlaku ketika menentang Perancis dalam aksi separuh akhir atau bahkan di pentas final.

Yamal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 sehari sebelum pertemuan penting menentang Perancis di Dallas, Amerika Syarikat.

De la Fuente berkata beliau telah menasihati penyerang Barcelona itu supaya tidak dibebani tekanan dan sebaliknya menikmati pengalaman beraksi di kejohanan terbesar dunia tersebut.

“Saya sudah beritahu dia tidak perlu risau. Biarkan dia menikmati detik ini. Saya yakin hari terbaik Lamine di Piala Dunia masih akan datang.

"Saya harap ia berlaku esok dan jika tidak, mungkin di final sekiranya kami berjaya mara,” katanya kepada wartawan.

Yamal memasuki kejohanan kali ini dengan kecergasan yang belum sepenuhnya pulih selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menyempurnakan sepakan penalti untuk Barcelona pada penghujung April lalu.

Setakat ini, beliau menjaringkan satu gol dan masih belum mencatat sebarang bantuan jaringan di Piala Dunia.

Sepanyol sebelum ini menewaskan Perancis 5-4 dalam separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA tahun lalu, namun De la Fuente menegaskan pertemuan kali ini bakal jauh lebih mencabar.

Menurutnya, pengalaman hampir mensia-siakan kelebihan 5-1 dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan tersebut menjadi pengajaran penting buat pasukannya.

“Kami banyak belajar daripada perlawanan itu dan saya pasti mereka juga begitu. Kami akan cuba mengulangi situasi yang menguntungkan kami dan mengelakkan perkara yang memberi kelebihan kepada lawan,” katanya.

Beliau menyifatkan pertembungan Sepanyol dan Perancis sebagai perlawanan yang memperlihatkan dua gaya permainan yang berbeza dan menegaskan pasukannya perlu berhati-hati dengan serangan balas pantas Perancis.

De la Fuente turut mengakui ancaman yang dibawa barisan penyerang Perancis seperti Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise.

“Kami telah menganalisis mereka dengan sangat teliti. Mereka memiliki pemain bertaraf luar biasa, tetapi kami juga mempunyai pemain berkualiti.

“Kuncinya adalah menerapkan identiti dan corak permainan kami sendiri sambil mengehadkan kekuatan lawan. Biasanya pasukan yang lebih seimbang akan mempunyai peluang lebih baik untuk menang,” katanya.

Beliau turut berpendapat skuad Perancis sekarang lebih kuat berbanding pasukan yang pernah ditewaskan Sepanyol sebelum ini kerana kedua-dua pasukan telah berkembang dan menjadi lebih matang.

Bagaimanapun, De la Fuente menolak tanggapan bahawa Sepanyol merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut, walaupun jurulatih Perancis, Didier Deschamps, memberikan label itu kepada mereka.

“Sama ada kami dianggap pasukan pilihan atau tidak, ia tidak membawa sebarang makna. Kedua-dua pasukan adalah pasukan hebat dan perkara itu langsung tidak relevan,” katanya.

Jurulatih berusia 65 tahun itu juga berkata beliau akan mengingatkan para pemain supaya menikmati peluang beraksi dalam perlawanan besar seperti ini kerana peluang sedemikian mungkin tidak datang berkali-kali dalam karier seseorang pemain.

“Saya selalu beritahu pemain supaya menikmati saat ini. Kami berada dalam situasi yang mungkin tidak akan berulang lagi.

“Kami perlu menjadi diri sendiri, menghormati kekuatan lawan dan percaya bahawa kami mampu mara ke final. Kami akan memberikan segala-galanya untuk mencapai impian tersebut,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement