KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mendapatkan laporan penuh daripada Persatuan Bolasepak Melaka (PB Melaka) dan penganjur susulan insiden seorang pemain meninggal dunia dipercayai akibat disambar petir pada aksi persahabatan di Melaka semalam.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata laporan itu bagi meneliti kronologi kejadian dan tindakan yang telah diambil, seterusnya mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam aspek pengurusan keselamatan perlawanan.
“Bagi pihak FAM, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pemain yang meninggal dunia dalam insiden dipercayai akibat disambar petir pada aksi persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu, Melaka pada Ahad lepas.
“FAM memandang serius insiden yang amat menyedihkan ini dan berharap semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azman berkata insiden itu menjadi peringatan kepada komuniti bola sepak bahawa aspek keselamatan hendaklah sentiasa diutamakan.
Beliau berkata FAM menyeru semua persatuan bola sepak negeri, kelab, akademi dan penganjur perlawanan supaya sentiasa memantau keadaan cuaca sebelum dan semasa perlawanan berlangsung.
Pada masa sama, beliau berkata FAM menggalakkan semua penganjur mempertimbangkan penggunaan Sistem Pengesan Kilat di lokasi pertandingan.
“Sistem ini mampu mengesan aktiviti kilat secara masa nyata dan memberikan amaran awal kepada pegawai pertandingan untuk membuat keputusan berkaitan keselamatan.
“Penggunaannya telah menjadi amalan dalam pelbagai kejohanan dan liga profesional sebagai sebahagian daripada prosedur pengurusan risiko,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan menangguhkan atau menghentikan perlawanan atas faktor keselamatan bukanlah satu kelemahan dalam pengurusan pertandingan, sebaliknya satu tindakan yang bertanggungjawab.
-- BERNAMA