RABAT: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino akan terus menerajui badan induk bola sepak dunia itu selepas mendapat sokongan penuh barisan pengurusan kanan FIFA dalam mesyuarat khas di Maghribi, walaupun organisasi itu mengakui berlakunya beberapa kesilapan dalam pengendalian cadangan pelaburan kontroversi yang diketengahkan sebelum ini.
Infantino mengadakan mesyuarat dengan anggota lembaga pengurusan FIFA di pejabat FIFA Afrika di Rabat pada Rabu susulan kritikan meluas terhadap cadangannya untuk menjual pegangan dalam pertandingan FIFA kepada pelabur swasta menerusi entiti baharu dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE).
Dalam kenyataan selepas mesyuarat itu, Setiausaha Agung FIFA Mattias Grafstrom bersama anggota lembaga pengurusan menegaskan semula sokongan penuh mereka terhadap Infantino sebagai presiden FIFA.
Cadangan FFE sebelum ini mencetuskan bantahan hebat, khususnya daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), yang menyifatkannya sebagai urusan tidak telus dan mendakwa pihak berkepentingan utama tidak dirunding secukupnya.
UEFA turut menyatakan kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan Infantino.
Menurut FIFA, mesyuarat berkenaan mengakui bahawa kesilapan telah berlaku dalam pengurusan cadangan FFE, termasuk persepsi bahawa ahli Majlis FIFA dan persatuan anggota berasa tersisih daripada proses tersebut.
FIFA turut mengakui kesilapan pengendalian isu itu selepas maklumat mengenai cadangan tersebut dibocorkan kepada media.
Badan itu memaklumkan bahawa permohonan maaf telah dihantar kepada Majlis FIFA dan persatuan anggota selain berjanji memastikan perkara sama tidak berulang.
Satu semakan dalaman juga akan dijalankan dan hasilnya akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis FIFA akan datang.
Cadangan FFE yang kini ditarik balik itu dilaporkan bertujuan menarik pelaburan swasta dalam kejohanan FIFA, termasuk Piala Dunia lelaki dan wanita.
Infantino sebelum ini menawarkan sehingga AS$40 juta kepada setiap 211 persatuan anggota FIFA sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan yang berkait dengan cadangan itu.
Dalam pada itu, FIFA menegaskan organisasinya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang serangan yang menjejaskan integriti, tadbir urus baik serta proses sewajarnya, dan akan mengambil langkah yang perlu bagi melindungi nama baik badan berkenaan.
FIFA turut menafikan laporan media yang mendakwa Infantino menjanjikan Maghribi hak menganjurkan perlawanan akhir Piala Dunia 2030 sebagai balasan kepada sokongan negara itu.
FIFA menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak benar dan mengelirukan, sambil menegaskan keputusan mengenai lokasi perlawanan akhir akan dibuat kemudian.