Skip to main content

Sukan

Glasgow 2026: New Joe stabil walaupun retak tulang muka, dibenarkan pulang ke Malaysia

NILAI, 23 Jan -- Atlet berbasikal trek negara New Joe Lau (kiri) membantu rakannya Muhammad Hafiq Mohd Jafri (kanan) ketika beraksi pada acara Madison Elit Lelaki 30km pada perlumbaan Siri Trek ASEAN Piala Presiden 3 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini._BERNAMA
Atlet berbasikal trek negara New Joe Lau (kiri) ketika membantu rakannya Muhammad Hafiq Mohd Jafri (kanan) pada acara Madison Elit Lelaki 30km pada perlumbaan Siri Trek ASEAN Piala Presiden 3 di Velodrom Nasional Nilai. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

GLASGOW: Pelumba basikal trek kebangsaan Lau New Joe berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang ke Malaysia, selepas terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan akhir acara scratch 10 kilometer (km) lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, pada hari Sabtu.

Ketua Pegawai Perubatan Kontinjen Malaysia Dr Kamarul Hashimy Hussein berkata New Joe telah dibawa ke jabatan kecemasan di Hospital Universiti Queen Elizabeth dan beliau menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) dan sinar-X seluruh badan.

“Alhamdulillah, keputusan imbasan CT menunjukkan tiada pendarahan dalaman di bahagian otak, namun terdapat sedikit keretakan pada tulang muka.

“Doktor di jabatan kecemasan kemudian merujuknya kepada pakar maksilofasial dan dua pakar maksilofasial pergigian hadir pada malam itu untuk memberikan rawatan segera dari kira-kira pukul 9 malam hingga 1 pagi,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Dr Kamarul berkata New Joe kemudiannya dibenarkan keluar dari hospital dan pulang ke hotel pasukan, manakala Institut Sukan Negara (ISN) akan memantau rawatan susulannya apabila beliau kembali ke Malaysia.

Beliau berkata New Joe turut mengalami kecederaan pergigian termasuk gigi yang patah, yang akan memerlukan beberapa sesi rawatan dan prosedur susulan bersama pakar maksilofasial.

“Pihak ISN juga akan menyediakan sokongan psikologi kerana beliau mempunyai mentaliti yang kuat, semangat untuk menang dan masih mahu kembali bertanding.

“Kami akan memantau tahap kecergasannya termasuk stamina serta daya tahan otot supaya beliau berada pada tahap optimum apabila diberikan kebenaran untuk kembali beraksi. Kami berharap beliau dapat pulih secepat mungkin dan jika diberi peluang, kembali bertanding pada Sukan Asia akan datang,” katanya.

Dr Kamarul berkata New Joe yang membuat penampilan sulungnya di Sukan Komanwel pada edisi kali ini, telah mendapat kebenaran untuk menaiki penerbangan dan dijadualkan pulang ke Malaysia bersama kontinjen negara hari ini.

Dalam perlumbaan malam tadi di Velodrom Sir Chris Hoy, New Joe terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung oleh pasukan perubatan dan disenaraikan sebagai “Tidak Menamatkan Perlumbaan” dalam keputusan rasmi.

Kemalangan yang melibatkan sembilan pelumba itu berlaku sejurus sebelum pelumba memasuki pusingan terakhir ketika kumpulan pelumba mula memecut ke garisan penamat.

New Joe kelihatan tidak sedarkan diri seketika berikutan kemalangan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement