PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan mahu melihat Harimau Malaya menjadikan Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia bermula 25 Sept hingga 5 Okt, sebagai titik permulaan untuk memburu kelompok 100 terbaik dunia pada masa hadapan.
Ab Ghani berkata pencapaian menembusi kedudukan 100 terbaik dunia itu, mampu membantu Malaysia yang kini menghuni kedudukan ke-136 dunia, untuk mendapatkan laluan undian lebih baik pada kempen kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2031, tahun depan.
“Pada Jun tahun depan akan diadakan undian (kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia). Dengan kemenangan ataupun undian dalam Piala ASEAN FIFA tetap ada mata walaupun tidak banyak, namun kita perlukan mata tersebut.
“Ini penting sebelum undian dibuat kerana Harimau Malaya perlu pastikan sekurang-kurangnya berada dalam balang kedua. Kita tidak mahu dalam balang ketiga atau keempat, kerana sukar bagi Harimau Malaya dalam peringkat awal (kelayakan) nanti,” katanya selepas Majlis Sambutan 100 Tahun FAM di sini, malam tadi.
Beliau juga berkata penting bagi Harimau Malaya terlebih dahulu menyasarkan kedudukan sebagai pasukan nombor satu di rantau Asia Tenggara, sebelum mengorak langkah menembusi kelompok 100 dunia.
Ab Ghani pada masa sama merancang untuk mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa, dalam usaha melonjakkan ranking skuad kebangsaan selepas ini.
Harimau Malaya pernah berada pada kedudukan ke-116 dalam ranking FIFA pada November tahun lepas, sebelum jatuh mendadak hingga ke tangga 138 pada April, susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain.
Skuad Harimau Malaya akan bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dan diundi dalam Kumpulan A bersama dengan tuan rumah Indonesia, selain Singapura dan Bangladesh.
Kumpulan B pula menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Malaysia akan memulakan kempen menentang Bangladesh yang menduduki kedudukan ke-181, di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 Sept.
Skuad pengendali interim Tan Cheng Hoe kemudian berhadapan Indonesia (118), di venue sama pada 28 Sept, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A menentang Singapura (148) di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt.
Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu pada perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada malam 5 Okt, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada sebelah siang hari yang sama.
-- BERNAMA