JOHOR BAHRU: Sukan permotoran di Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, namun memerlukan perancangan yang rapi termasuk pemberian insentif pengecualian cukai bagi memacu pembangunan sukan itu, kata Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.
Beliau yang juga pemilik dan pelumba Johor Motorsports Racing (JMR) berkata langkah berkenaan penting kerana pengendalian sukan permotoran melibatkan kos yang tinggi, sekali gus memerlukan sokongan bagi membantu mengembangkan industri berkenaan.
“Saya rasa potensi sukan ini (untuk berkembang) belum besar lagi (di Malaysia), jadi saya cadangkan pemberian insentif seperti pengecualian cukai untuk penganjuran perlumbaan, pembelian kereta lumba atau kepada pasukan perlumbaan di Malaysia.
“Di situ kita boleh perbesarkan sukan ini dan menjadikannya lebih berkesan dari segi jumlah perbelanjaan dan lain-lain (kos) yang perlu ditanggung,” katan Tunku Abdul Rahman pada sesi soal jawab di Motorsports Talk 2.0 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.
Turut berkenan berangkat Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Tunku Abdul Rahman berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah yang perlu dilaksanakan bagi merancakkan sukan permotoran serta perkembangan sukan berkenaan di negara ini.
Motorsports Talk 2.0 2026 anjuran QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) dengan kerjasama UTM memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai ekosistem sukan permotoran di peringkat antarabangsa.
Program yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah itu turut menyaksikan Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar berkongsi pengalaman serta perjalanan pasukan JMR dalam menempa kejayaan di peringkat global.
JMR baru-baru ini muncul sebagai pasukan Malaysia pertama menjuarai kategori Pro-Am dalam perlumbaan berprestij CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium.
-- BERNAMA