KUALA LUMPUR: Malaysia meraih kemenangan pertama dalam kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2027, selepas menewaskan Singapura 2-1 pada aksi kedua Kumpulan E di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Penyerang Muhammad Syaifullah Mahruzi membuka jaringan buat Malaysia pada minit ke-33, sebelum Ahmad Izzan Rifqi Ahmad Farid menyamakan kedudukan untuk Singapura, pada masa kecederaan babak pertama.
Pemain gantian Muhamad Fahim Akmal Zulkarnain muncul wira negara apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-89, selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Singapura dalam kotak penalti.
Sebelum ini, skuad negara kendalian Muhammad Shukor Adan memulakan kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Palestin pada Ahad lepas.
Sementara itu, India mencatat kemenangan kedua selepas membelasah Guam 12-0 pada satu lagi aksi Kumpulan E di venue sama petang semalam.
Malaysia kini menghuni tangga keempat dengan tiga mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Singapura di tempat ketiga sementara India dan Palestin, mendahului kumpulan dengan masing-masing mengumpul enam mata.
Malaysia akan menentang Guam dalam aksi ketiga kumpulan pada Selasa depan.
-- BERNAMA