Skip to main content
Advertisement

Sukan

LTdL 2026: Berdepan tiga pendakian mencabar, Malucelli intip Jersi Raja Pecut

KEMAMAN 1 Okt - Pelumba Pasukan XDS Astana, Matteo Malluceli menyarung jersi jingga selaku raja pecut pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini. - fotoBERNAMA
Malucelli berkata beliau akan memberikan kayuhan terbaik dan hadir dengan persiapan lebih rapi bagi menebus kekecewaan tahun lepas. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelumba pecut sensasi XDS Astana Team, Matteo Malucelli bertekad memenangi sebanyak mungkin peringkat perlumbaan bagi memburu “Jersi Raja Pecut” Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang akan bermula esok hingga 4 Okt.

Malucelli berkata beliau akan memberikan kayuhan terbaik dan hadir dengan persiapan lebih rapi bagi menebus kekecewaan tahun lepas apabila kempen beliau terpaksa ditamatkan lebih awal selepas menarik diri akibat terbabit dalam kemalangan pada Peringkat 6 dari Shah Alam ke Port Dickson.

"Saya akan cuba memenangi sebanyak mungkin peringkat perlumbaan untuk merampas semula Jersi Raja Pecut dalam saingan LTdL 2026," katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam penerbangan sama dari Istanbul, Turkiye ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Mengulas peluangnya, pakar pecut kelahiran Itali itu mengakui saingan kekal sengit walaupun dengan ketiadaan juara Raja Pecut 2025, Erlend Blikra daripada Uno-X Mobility Team serta pencabar utama daripada Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn.

"Walaupun beberapa nama besar tidak mengambil bahagian, pelumba pecut daripada pasukan lain yang hadir pasti akan memberikan cabaran sengit," katanya

Ketiadaan Blikra sememangnya membuka peluang lebih luas buat Malucelli, namun beliau dijangka berdepan tentangan sengit daripada pelumba pecut bertaraf dunia yang lain, termasuk pelumba berpengalaman Fernando Gaviria daripada Caja Rural-Seguros RGA.

Bagi edisi ke-30 yang bersejarah ini, Jersi Raja Pecut akan menampilkan rekaan berwarna biru yang tersendiri dan ditaja secara rasmi oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 dengan kerjasama LTdL 2026, sekali gus menjadi platform strategik untuk mempromosikan Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Bagaimanapun, edisi kali ini menjadi ujian penting buat pakar pecut daripada semua pasukan kerana mereka perlu mengharungi tiga peringkat pendakian berintensiti tinggi yang bakal menguji ketahanan fizikal dan mental.

Penganjur menyusun laluan pendakian yang amat mencabar, bermula dengan Peringkat 2 dari Taiping, Perak ke puncak Gunung Jerai, Kedah.

Pelumba kemudiannya akan berdepan dua ujian pendakian berturut-turut pada Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands, sebelum mengharungi Peringkat 5 yang ikonik dengan pendakian mencabar “Kategori Hors” (HC) dari Tapah ke Genting Highlands.

Mengulas mengenai laluan berbukit yang sering menjadi mimpi ngeri buat pelumba pecut, Malucelli berkata beliau bersama pasukannya telah merangka strategi khusus bagi memastikan beliau mampu bertahan dalam perlumbaan.

"Tahun ini cabarannya kelihatan berbeza kerana penganjur menambah laluan berbukit dalam tiga peringkat pendakian utama secara berturut-turut.

"Bagaimanapun, saya tetap bersedia untuk menghadapi cabaran pendakian ini memandangkan setiap peringkat pendakian mempunyai had masa penamat perlumbaan yang ketat (cut-off time) yang perlu dipatuhi bagi membolehkan saya terus kekal dalam perlumbaan," katanya.

LTdL 2026 yang berstatus UCI ProSeries, menjanjikan saingan sengit bermula di Shah Alam, Selangor dan berakhir di Putrajaya, membabitkan 20 pasukan yang terdiri daripada dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, sembilan pasukan Benua (Continental) serta pasukan kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement