Skip to main content

Sukan

Makhachev dedah strategi hadapi Machado Garry di UFC 330

islam makhachev_IG islam_makhachev
Juara welterweight UFC, Islam Makhachev memberi bayangan awal mengenai strategi yang akan digunakannya ketika mempertahankan gelaran menentang Ian Machado Garry di UFC 330 bulan depan. - Gambar fail/Instagram/@Islam_Makhachev
Advertisement

JUARA welterweight UFC, Islam Makhachev memberi bayangan awal mengenai strategi yang akan digunakannya ketika bertemu Ian Machado Garry bulan depan.

Makhachev dijadualkan untuk mempertahankan gelaran dunia welterweight UFC yang disandangnya menentang Machado Garry dalam acara utama UFC 330 pada 15 Ogos ini.

Acara itu akan berlangsung di Xfinity Mobile Arena, Philadelphia, Amerika Syarikat.

Menurut laman rasmi UFC, pertarungan tersebut menjadi acara utama kepulangan organisasi itu ke Philadelphia, dengan Makhachev hadir sebagai juara welterweight dan Machado Garry sebagai pencabar nombor satu divisyen tersebut.

Dalam temu bual bersama MMA Fighting ketika menghadiri Zuffa Boxing 9, Makhachev berkata beliau sudah meneliti gaya pertarungan Machado Garry.

Menurut Makhachev, cabaran utama ialah mengejar pergerakan lawannya yang banyak bergerak sepanjang pertarungan.

“Saya perlu banyak berlari dalam kem latihan ini kerana saya perlu mengikutnya. Dia terlalu banyak berlari. Saya tahu rancangan pertarungannya,” kata Makhachev.

Makhachev berkata pasukannya sudah menonton pertarungan Machado Garry dan percaya pencabar dari Ireland itu sering menggunakan pendekatan sama.

“Dia sentiasa mempunyai gaya yang sama. Saya akan cuba menangkapnya, menjatuhkannya dan melakukan apa yang saya pernah lakukan terhadap lawan-lawan saya sebelum ini,” katanya.

Pertarungan ini turut menarik perhatian kerana Machado Garry kini berlatih bersama bekas juara lightweight UFC, Charles Oliveira.

Oliveira pernah berdepan Makhachev pada 2022 dalam pertarungan merebut gelaran lightweight, namun tewas menerusi submission (kuncian) pada pusingan kedua.

Makhachev bagaimanapun tidak melihat kehadiran Oliveira sebagai faktor besar dalam persiapan Machado Garry.

“Charles akan ajar dia cara tap (menyerah kalah) dengan cepat. Itu sahaja,” kata Makhachev secara berseloroh.

Walaupun Machado Garry terkenal dengan provokasi terhadap lawannya, Makhachev menegaskan pertarungan itu tidak bersifat peribadi.

Beliau juga menolak naratif bahawa pertarungan tersebut membawa unsur persaingan antara Ireland dan pasukannya.

Makhachev berkata Machado Garry hanya dianggap sebagai lawan biasa, walaupun beliau sedar wakil Ireland sebelum ini pernah tewas kepada kem pasukannya.

“Ini cuma lawan biasa. Tiada apa-apa antara negara. Tetapi kami masih 2-0 sekarang dan ia akan menjadi 3-0,” katanya.

Makhachev merujuk kepada kemenangan Khabib Nurmagomedov ke atas Conor McGregor pada 2018, selain dua kemenangan Usman Nurmagomedov ke atas Paul Hughes dalam PFL.

Makhachev kini menjalani fasa akhir kem latihan di New Jersey bersama pasukannya.

Beliau berkata persiapannya berjalan lancar dengan kehadiran jurulatih utama dan rakan sepasukan, termasuk Khabib Nurmagomedov serta Javier Mendez.

“Segalanya berjalan dengan baik. Kami berada di gim yang sama untuk beberapa pertarungan terakhir. Khabib ada di sini, Javier ada di sini dan kami berlatih keras setiap hari untuk bersedia,” katanya.

UFC 330 menjadi pentas penting buat Makhachev untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai juara dua divisyen UFC selepas sebelum ini mendominasi kategori lightweight.

Bagi Machado Garry pula, pertarungan itu menjadi peluang terbesar dalam kariernya untuk menewaskan petarung nombor satu pound-for-pound dan merampas gelaran welterweight UFC.


--Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video

Advertisement