KUDUS: Skuad bola sepak wanita bawah 16 tahun (B-16) negara menamatkan saingan Kumpulan A selaku naib juara untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Srikandi Merdeka 2026.
Kejayaan itu diraih selepas skuad Malayan Tigress muda menewaskan Arab Saudi 9-0 dalam aksi terakhir kumpulan di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia, semalam, lapor Stadium Astro.
Kemenangan besar itu membolehkan Malaysia mengatasi Hong Kong menerusi kelebihan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan empat mata.
Lebih membanggakan, skuad bimbingan Fairuz Montana Zainal Abidin itu beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-21 selepas Dishanna Nagarajan Pillay dilayangkan kad merah.
Perhatian tertumpu kepada pemain berdarah warisan Malaysia-Amerika Syarikat, Lim You, yang mempamerkan aksi luar biasa apabila meledak tujuh gol untuk muncul watak utama kemenangan negara.
Pemain berusia 14 tahun itu membuka jaringan seawal minit kelapan sebelum menambah gol pada minit ke-22, 27, 57, 75 menerusi sepakan penalti, serta melengkapkan tujuh gol peribadi pada minit ke-83 dan 85.
Prestasi cemerlang itu meletakkan Lim You sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini, selain mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak wanita Malaysia pertama yang menjaringkan tujuh gol dalam satu perlawanan antarabangsa rasmi.
Dua lagi gol Malaysia dijaringkan Mia Alysa dan Ku Nur Qaleysha untuk melengkapkan kemenangan besar skuad negara.
Kejayaan mara ke separuh akhir memberi peluang kepada skuad muda negara untuk meneruskan momentum cemerlang dalam usaha memburu kejayaan di kejohanan berkenaan.