Skip to main content

Sukan

Messi balik kampung bersama keluarga, ambil peluang berehat sebelum kembali beraksi

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Final - Spain v Argentina - New York/New Jersey Stadium, East Rutherford, New Jersey, U.S. - July 19, 2026 Argentina's Lionel Messi looks dejected after losing the World Cup final REUTERS/Agustin Marcarian
Lionel Messi, kembali ke kampung halamannya di Rosario pada Selasa bagi meluangkan beberapa hari berehat selepas kekalahan negaranya kepada Sepanyol dalam aksi final Piala Dunia 2026. - Gambar Reuters
Advertisement

ROSARIO: Kapten Argentina, Lionel Messi, kembali ke kampung halamannya di Rosario pada Selasa bagi meluangkan beberapa hari berehat selepas kekalahan negaranya kepada Sepanyol dalam aksi final Piala Dunia 2026.

Pesawat peribadi yang membawa Messi mendarat berhampiran Rosario pada jam 6.27 pagi waktu tempatan selepas berlepas dari Fort Lauderdale, Florida.

Meskipun ratusan peminat menunggu di lapangan terbang dengan sepanduk dan bendera, bintang berusia 39 tahun itu tidak muncul untuk menyapa orang ramai.

Para penyokong hanya sempat melihat kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menjemput Messi dan keluarganya di landasan sebelum membawa mereka ke kawasan kediaman persendirian di Funes, kira-kira 300 kilometer di utara Buenos Aires.

Menurut laporan media tempatan, Messi ditemani isterinya, Antonela Roccuzzo, serta tiga anak mereka yang turut mengiringinya sepanjang kempen Piala Dunia di Amerika Utara.

Menanti kepulangan beliau di Rosario ialah bapanya, Jorge Messi, 68, yang kini sedang menjalani rawatan bagi satu penyakit yang tidak didedahkan kepada umum. 

Perkembangan berkaitan kesihatan Jorge sebelum ini dimaklumkan keluarga Messi sepanjang kejohanan berlangsung.

Sejak awal pagi, peminat mula berkumpul di lapangan terbang dengan harapan dapat melihat kelibat pemain legenda itu. 

Antara yang hadir ialah dua kanak-kanak perempuan mengenakan jersi Argentina sambil membawa sepanduk mengalu-alukan kepulangan Messi.

Salah satu sepanduk itu berbunyi: "Messi, anda seorang legenda. Terima kasih kerana membawa kegembiraan kepada hati kami. Seluruh negara menyayangi anda."

Messi dijangka kembali menyertai Inter Miami pada penghujung Julai atau awal Ogos bagi meneruskan kempen Liga Bola Sepak Major (MLS) musim ini.

Sementara itu, 15 pemain daripada skuad Argentina yang beraksi di Piala Dunia 2026 tiba di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires pada Isnin menerusi penerbangan khas bersama ketua jurulatih, Lionel Scaloni.

Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol menerusi masa tambahan dalam perlawanan akhir yang berlangsung di East Rutherford, New Jersey, Ahad lalu. Gol tunggal kemenangan dijaringkan Ferran Torres.

Final edisi 2026 itu merupakan penampilan ketiga Messi di pentas akhir Piala Dunia selepas 2014 dan 2022. 

Beliau menamatkan kejohanan sebagai naib pemenang Kasut Emas selepas menjaringkan lapan gol, dua gol di belakang penyerang Perancis, Kylian Mbappe.

Mbappe kini mendahului senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 22 gol, satu gol mengatasi Messi yang berada di kedudukan kedua. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement