KUALA LUMPUR: Meskipun hampir setahun tidak beraksi, itu tidak menghalang petarung MMA wanita negara Jihin Radzuan untuk meraih kemenangan bergaya pada aksi ONE Fight Night 40, di Stadium Lumpinee, Bangkok sebentar tadi.
Acara atomweight tersebut menyaksikan petarung kelahiran Johor itu menewaskan Gabriela Fujimoto dari Brazil menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan ketiga, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah yang dimiliki lawannya itu.
Advertisement
Pertarungan berlangsung sengit sejak pusingan pertama, dengan kedua-dua petarung saling melepaskan serangan dan mempertahankan setiap inci kedudukan.
Namun, 'Shadow Cat' yang lebih berpengalaman menunjukkan ketenangan dan kematangan taktikalnya, menunggu peluang sebelum menghukum lawannya dengan kombinasi pukulan dan siku yang membuat Fujimoto goyah di pusingan ketiga.
Akhirnya, pada 3 minit 36 saat pusingan ketiga, Jihin berjaya mencatat kemenangan TKO, menafikan hasrat Fujimoto untuk mencatat kemenangan dalam debutnya di ONE.
Kemenangan ini juga merupakan kemenangan TKO pertama dalam karier Jihin di pentas ONE.
Dengan keputusan terbaharu ini juga, Jihin, 27, kini melebarkan rekod kemenangannya kepada 10 - 5.