Skip to main content

Sukan

Piala AFF Wanita: Malayan Tigress kempunan ke separuh akhir, tewas kepada Singapura 3-1

KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Pemain Malaysia, Henrietta Justine (depan) mengawal bola dari dirampas dua pemain Singapura pada perlawanan Kumpulan A Piala Wanita AFF 2026 antara Malaysia menentang Singapura di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini.  Perlawanan tamat dengan keputusan Malaysia 1-3 Singapura.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain Malaysia, Henrietta Justine (depan) mengawal bola dari dirampas dua pemain Singapura pada perlawanan Kumpulan A Piala Wanita AFF 2026 antara Malaysia menentang Singapura di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 16 Julai 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Impian skuad Malayan Tigress untuk memburu slot ke separuh akhir Piala AFF Wanita 2026 tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini semalam.

Kekalahan itu menyaksikan Singapura, bimbingan Mihoko Sugawara muncul juara kumpulan dengan mengumpul empat mata, diikuti Laos selaku naib juara dengan dua mata, manakala Malaysia menghuni tangga tercorot dengan satu mata selepas seri 1-1 dengan Laos pada Jumaat lepas.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang dijadual berlangsung Ahad ini, manakala perlawanan akhir serta penentuan tempat ketiga akan diadakan pada Rabu depan.

Kumpulan A pula dibarisi juara bertahan Indonesia, Kemboja dan Timor-Leste.

Beraksi dalam keadaan hujan, Singapura yang turut seri 1-1 dengan Laos pada aksi pembukaan Isnin lepas lebih menguasai permainan sebelum membuka tirai jaringan menerusi S. Yuvika pada minit ke-13.

The Lionesses terus menambah derita skuad negara apabila menggandakan kelebihan menerusi jaringan Danelle Tan pada minit ke-45 untuk mendahului 2-0 menjelang tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Malayan Tigress tampil lebih agresif dan berjaya merapatkan jurang menerusi Henrietta Justine pada minit ke-59.

Bagaimanapun, Danelle memastikan kemenangan Singapura apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 selepas dijatuhkan oleh penjaga gol Malaysia, Asma Junaidi, di dalam kotak penalti.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan A di Stadium UiTM, Shah Alam, Indonesia dan Kemboja terikat 1-1.

Keputusan itu menyaksikan Kemboja muncul juara Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, jumlah yang sama dengan Indonesia, manakala Timor-Leste menamatkan saingan di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Kemboja dan Indonesia berkongsi jumlah mata serta perbezaan gol yang sama, namun Kemboja dinobatkan sebagai juara kumpulan berdasarkan susunan abjad.

Pada aksi separuh akhir di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini, Singapura akan menentang Indonesia pada pukul 4.45 petang, manakala Kemboja berdepan Laos pada pukul 8.45 malam.

Perlawanan akhir dijadual berlangsung di venue sama pada Rabu depan pada pukul 8.45 malam, didahului aksi penentuan tempat ketiga pada pukul 4.45 petang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement