BANDUNG: Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe mengakui kecewa Malaysia gagal melangkah ke final Piala ASEAN FIFA 2026 meskipun membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A Divisyen 1 di Stadium Si Jalak Harupat di sini, malam tadi.
Kemenangan besar itu masih belum mencukupi selepas Indonesia menewaskan Bangladesh 9-2 dalam satu lagi aksi kumpulan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, sekali gus muncul juara kumpulan menerusi kelebihan jumlah jaringan.
Harimau Malaya menamatkan saingan dengan tujuh mata, sama seperti Indonesia, manakala kedua-dua pasukan turut mencatat perbezaan jaringan sama, iaitu sembilan gol.
Bagaimanapun, skuad Garuda layak ke final selepas menjaringkan 11 gol sepanjang saingan kumpulan berbanding sembilan yang dihasilkan Malaysia.
Cheng Hoe berkata anak buahnya telah memberikan segala-galanya di atas padang, terutama menerusi komitmen tinggi, kawalan permainan yang baik serta ketajaman penyudah untuk menghasilkan enam gol ke atas seteru Seberang Tambak itu.
“Pemain kita tunjukkan permainan yang cukup baik, komited dalam setiap pergerakan. Kawalan bola dan penyudah pun baik. Tetapi dalam bola sepak, perkara seperti ini berlaku. Ibarat suka dalam duka.
“Sudah tentu kita kena bergerak ke hadapan, fikir secara positif dan kita kena memperbaiki diri untuk perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.
Pada pertembungan terakhir kumpulan malam tadi, Malaysia mendahului Singapura 2-0 pada separuh masa pertama, ketika Indonesia berada di hadapan Bangladesh 6-1.
Pasukan negara kemudian menggandakan asakan pada babak kedua dengan meledak empat lagi gol, termasuk menerusi penyerang naturalisasi Bergson da Silva yang melengkapkan hatrik.
Namun, keputusan itu belum memadai untuk mengatasi Indonesia yang menamatkan perlawanan dengan kemenangan 9-2.
Malaysia, yang mencatat dua kemenangan dan satu seri sepanjang kempen kumpulan, akan menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga, manakala Indonesia membuat perhitungan dengan Thailand pada final, masing-masing di GBK, Isnin depan.
-- BERNAMA