Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Ivory Coast layak ke pusingan kalah mati selepas tewaskan Curacao 2-0

Ivory Coast players celebrate at the end of the World Cup Group E soccer match between Curacao and Ivory Coast in Philadelphia, Thursday, June 25, 2026. (AP Photo/Matt Rourke)
Pemain Ivory Coast meraikan kemenangan pada penghujung perlawanan Kumpulan E Piala Dunia antara Curacao dan Ivory Coast di Philadelphia. - Foto AP
Advertisement

PHILADELPHIA: Ivory Coast akhirnya melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat pertama kali selepas menewaskan Curacao 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan E, pada Khamis.

Dua gol jaringan Nicolas Pepe memastikan pasukan yang digelar Les Elephants itu menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan dengan enam mata, sekali gus mengesahkan tiket ke peringkat seterusnya.

Kejayaan ini cukup bermakna buat ketua jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae, yang pernah menjadi pemain dalam skuad pertama negara itu ke Piala Dunia dua dekad lalu.

“Saya mahu rakyat kami menikmati kejayaan bersejarah ini, meraikannya, dan terus memberi sokongan serta doa agar kami mampu pergi lebih jauh dalam kejohanan ini,” kata Fae.

Pepe, yang sebelum ini tidak menjaringkan gol dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan pernah tersisih daripada skuad Piala Negara-Negara Afrika, tampil sebagai wira dengan dua jaringan penting.

Gol pertama hadir hasil gerakan pemain muda berusia 19 tahun, Yan Diomande, yang bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan sebelum melorongkan bola kepada Pepe untuk disudahkan dari jarak dekat.

Pepe kemudian menggandakan kelebihan Ivory Coast pada separuh masa kedua menerusi sepakan lencong cantik selepas menerima hantaran tepat daripada Ibrahim Sangare.

Kekalahan itu menyaksikan Curacao tersingkir daripada kejohanan dengan hanya satu mata, walaupun mereka mencipta sejarah sebagai negara Caribbean terkecil layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Jurulatih Curacao, Dick Advocaat, mengakui pasukannya mempunyai peluang, namun perbezaan kualiti pemain menjadi penentu.

“Kami mencipta peluang, tetapi mereka mempunyai pemain bernilai tinggi dan ancaman lebih besar,” katanya.

Ivory Coast, yang sebelum ini hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan Piala Dunia (2006 hingga 2014), kini bakal berdepan pasukan tempat kedua Kumpulan I, sama ada Perancis atau Norway, dalam aksi kalah mati di Arlington, Texas.

Kemenangan ini menyuntik semangat baharu buat Ivory Coast untuk melakar pencapaian lebih jauh dalam kejohanan, sekali gus mencipta sejarah baharu bola sepak negara itu.
 

Must Watch Video

Advertisement