KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara terpaksa akur dengan kekalahan 4-7 kepada Ireland, dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga 16 Piala Dunia Hoki Lelaki FIH 2026 pada Jumaat.
Ireland memulakan perlawanan dengan garang apabila Jonathan Lynch meledak hatrik menerusi jaringan padang pada minit kelapan dan ke-24 serta pukulan sudut penalti pada minit ke-12.
Matthew Nelson kemudian menambah jaringan keempat Ireland menerusi gol padang pada minit ke-19, untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan sukar.
Skuad Speedy Tigers bagaimanapun tidak mengalah apabila Muhammad Azimuddin Syakir Kamaruddin membuka akaun jaringan negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-29.
Malaysia terus cuba merapatkan jurang menerusi Amirul Hamizan Azahar yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-36, namun Ireland membalas seminit kemudian menerusi John McKee, juga daripada situasi pukulan sudut penalti.
Azrai Aizad Abu Kamal memastikan Malaysia terus memberi tentangan, apabila menjaringkan gol ketiga negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-41.
Ireland bagaimanapun terus menjarakkan kedudukan apabila Nelson memperoleh gol padang keduanya pada minit ke-39, sebelum Benjamin Walker melengkapkan jaringan ketujuh pasukannya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-54.
Penyerang berpengalaman Faizal Saari kemudian menjaringkan gol keempat Malaysia menerusi jaringan padang seminit selepas itu, namun ia tidak cukup untuk menghalang Ireland daripada menamatkan perlawanan dengan kemenangan 7-4.
Malaysia selepas ini akan turun menentang Afrika Selatan pada Ahad.
-- BERNAMA