Skip to main content

Sukan

Ronaldo beri penghormatan kepada Messi

Lionel Messi bercakap kepada penyokongnya selepas perlawanan antarabangsa terakhirnya bersama skuad kebangsaan. - Gambar Reuters
Lionel Messi bercakap kepada penyokongnya selepas perlawanan antarabangsa terakhirnya bersama skuad kebangsaan. - Gambar Reuters

Advertisement

BUENOS AIRES: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mengetepikan salah satu persaingan terbesar dalam sejarah bola sepak apabila memberikan penghormatan kepada Lionel Messi selepas legenda Argentina itu mengakui sudah merindui pasukan kebangsaannya susulan persaraan antarabangsa yang penuh emosi.

Messi, 39, menampilkan satu lagi persembahan kelas dunia dalam aksi terakhirnya bersama Argentina pada Selasa apabila menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan ketika skuad La Albiceleste menewaskan Benin 3-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Monumental, Buenos Aires.

Perlawanan yang disaksikan lebih 85,000 penyokong itu bertukar menjadi sambutan terhadap karier antarabangsa luar biasanya selama 21 tahun.

"Malam tadi merupakan perlawanan terakhir saya dan saya sudah pun merindui jersi biru putih ini. Saya tahu saya membuat keputusan yang tepat," kata Messi menerusi hantaran panjang di Instagram.

"Ia satu perjalanan yang luar biasa, penuh kegembiraan dan juga kesedihan, namun saya pasti setiap langkah yang saya ambil amat berbaloi.

"Saya juga tidak mahu melupakan Diego (Maradona), yang meletakkan negara kami di tempat yang sewajarnya. Seperti yang sering saya katakan, saya percaya beliau membantu kami, sama ada ketika bersama kami atau dari syurga, dalam setiap langkah yang kami lalui."

Messi turut merakamkan penghargaan kepada semua kelab yang diwakilinya kerana sentiasa menghormati komitmennya terhadap Argentina.

"Terima kasih kepada semua kelab yang pernah saya wakili kerana sentiasa menghormati perasaan saya dan membenarkan saya berkhidmat untuk negara setiap kali tiba masanya menyarung jersi kebangsaan."

Sepanjang karier antarabangsanya, Messi memimpin Argentina menjulang Piala Dunia 2022 selain menjuarai Copa America pada 2021 dan 2024. Beliau turut membantu negaranya menjuarai Finalissima 2022.

"Saya amat bersyukur. Saya sayang anda semua. Saya akan merindui saat-saat ini dan sentiasa berterima kasih kerana sentiasa berada di sisi kami dan di sisi saya," tambah pemain Inter Miami itu.

Messi dan Ronaldo sepanjang dua dekad lalu sering dianggap dua pemain terbaik generasi mereka, dengan kedua-duanya bersaing merebut pelbagai kejuaraan dan pengiktirafan individu.

Ronaldo, 41, antara tokoh yang memberikan reaksi terhadap pengumuman persaraan Messi itu.

"Leo, selepas bertahun-tahun mempertahankan negara anda, anda telah mencipta sejarah yang akan kekal selama-lamanya. Saya amat menghormati segala yang telah anda capai bersama Argentina. Salam persahabatan," kata Ronaldo.

Sementara itu, Ronaldo ketika ini dilaporkan berdepan pertikaian dengan ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus, susulan tindakannya meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan secara mengejut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement