Skip to main content

Sukan

Selangor, Kuching City tempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Feb -- Pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya pada perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia di Stadium Petaling Jaya hari ini.  Keputusan semasa perlawanan Selangor FC 4-0 Negeri Sembilan FC. BERNAMA
Faisal Halim (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Petaling Jaya malam tadi. --fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Selangor FC mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas membelasah Negeri Sembilan FC (NSE) 5-1 pada suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Berbekalkan kelebihan 1-0 daripada aksi pertama, skuad Gergasi Merah tampil garang untuk mendominasi perlawanan sebelum membolosi gawang pasukan pelawat seawal minit pertama melalui rembatan kencang Faisal Halim.

Advertisement

Selangor menggandakan kedudukan dengan jaringan kedua hasil penyudah Alvin Fortes yang menerima hantaran Charigor Moraes pada minit ke-24.

Tidak sampai enam minit kemudian, rembatan deras Nooa Laine yang dibantu Faisal menambah derita Negeri Sembilan.

Kedudukan 4-0 disempurnakan dengan tandukan padu Quentin Cheng pada masa kecederaan babak pertama, sekali gus menutup separuh masa pertama dengan Selangor selesa di hadapan.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk menambah derita skuad kendalian Nizam Jamil apabila sekali lagi memperoleh jaringan menerusi sepakan percuma yang disudah Moraes pada minit ke-66.

Negeri Sembilan akhirnya memecah kebuntuan apabila menerima sepakan penalti yang disudah Jovan Motika tujuh minit kemudian, dan keputusan kekal 5-1 hingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Selangor menyingkirkan NSE dengan agregat 6-1 untuk bertemu Kuching City FC di separuh akhir.

Dalam pada itu, aksi di Stadium Negeri Sarawak menyaksikan Kuching City turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Brunei DPMM FC 3-1 dan layak dengan agregat 6-2.

Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak berhasil meledak tiga jaringan menerusi Ngah Wanja, Ramadhan Saifullah Usman dan Jordan Mintah, manakala DPMM memecah kebuntuan melalui Hakeme Yazid Said pada minit ke-52.

-- BERNAMA

Must Watch Video