NAGOYA: NAGOYA, 20 Sept (Bernama) -- Penyerang berpengalaman Faizal Saari meledak hatrik bagi membantu skuad hoki lelaki kebangsaan membuka kempen Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan kemenangan besar ke atas Uzbekistan 7-0 di Gifu, Jepun, hari ini.
Aksi di Gifu Prefectural Green Stadium menyaksikan Faizal menyumbat gol sulungnya pada minit ke-15 menerusi jaringan padang, disusuli gol pukulan sudut penalti pada minit ke-24 dan melengkapkan hatriknya dengan menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-43.
Terdahulu, kenduri gol Speeedy Tigers bermula pada minit ke-11 menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh tonggak serangan Norsyafiq Sumantri, manakala pemain gantian Azimuddin Syakir Kamaruddin turut mencipta nama selaku penjaring hasil situasi sama pada minit ke-36.
Dua gol terakhir Malaysia berpunca daripada jaringan padang di penghujung perlawanan masing-masing oleh penyerang Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-59 dan pemain pertahanan Faiz Helmi Jali, seminit kemudian.
Skuad kendalian ketua jurulatih dari Afrika Selatan Brendon Carolan itu akan meneruskan perjuangan dalam perlawanan kedua Kumpulan B menentang Oman, Selasa ini.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke peringkat separuh akhir.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai secara rasmi semalam, akan berlangsung hingga 4 Okt ini.
-- BERNAMA