Skip to main content

Sukan

SUKMA: Selangor pertimbang cuti peristiwa jika muncul juara keseluruhan - Exco

SHAH ALAM, 23 Ogos -- Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi (tengah) meraikan kejayaan kontinjen mencapai sasaran pingat emas ke-80 pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 ketika sidang media di Pejabat Sukan Negeri Selangor (MSNS), hari ini._BERNAMA
Mohd Najwan (tengah) meraikan kejayaan kontinjen mencapai sasaran pingat emas ke-80 pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 ketika sidang media di Pejabat Sukan Negeri Selangor (MSNS), hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan untuk memberikan cuti peristiwa jika kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) negeri berkenaan berjaya meraih gelaran juara keseluruhan pada temasya itu. 

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu hanya akan diumumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan dengan kontinjen Selangor menunjukkan peluang cerah untuk menamatkan temasya dengan cemerlang. 

“Cuti akan kami usulkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari untuk beliau pertimbangkan. Seandainya kami muncul juara keseluruhan, mungkin boleh dipertimbangkan untuk diberikan insentif kepada rakyat Selangor. 

“Insentif untuk atlet yang berjaya, insya-Allah kami akan gerakkan selepas selesai SUKMA ini nanti,” katanya pada sidang media perkembangan semasa SUKMA Selangor 2026 di Bangunan Majlis Sukan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Najwan berkata setakat 2.50 petang hari ini Selangor berjaya mengutip 85 emas dengan yang terkini disumbangkan antaranya oleh pasukan e-sukan (MLBB) wanita, acara terjun 3m papan anjal individu wanita, ping pong perseorangan wanita dan boling padang perseorangan lelaki. 

“Cuma saya ingatkan juga kepada atlet untuk terus fokus, ada berbaki lebih kurang sehari setengah lagi untuk kami menamatkan SUKMA ini dan pastinya berikanlah yang terbaik. Soal menang atau kalah itu adat dalam pertandingan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement