Skip to main content
Advertisement

Sukan

Tinggalkan final Piala Dunia KL: ISTAF denda lima pemain, tiga pegawai Thailand

KUALA LUMPUR, 12 April -- Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTF), Datuk Abdul Halim Kader pada sidang akhbar penyerahan peralatan tajaan marathon kepada Akademi Sepaktakraw Malaysia dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTF) World Cup 2026 di Akademi Sepaktakraw Malaysia, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader (foto) berkata Panel Pendengaran Tatatertib yang bersidang di Bangkok pada 10 Ogos lepas mendapati kelapan-lapan individu bersalah dalam insiden berkenaan. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengenakan denda terhadap lima pemain dan tiga pegawai pasukan kebangsaan Thailand susulan tindakan mereka meninggalkan final Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF Kuala Lumpur 2026, Mei lepas.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata Panel Pendengaran Tatatertib yang bersidang di Bangkok pada 10 Ogos lepas mendapati kelapan-lapan individu bersalah dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata final itu terpaksa dihentikan pada 12.05 tengah malam 24 Mei lepas.

“Tiga pemain utama masing-masing didenda USD6,000 (RM24,507) manakala dua pemain simpanan masing-masing didenda USD5,000 (RM20,422.50) dengan tempoh penggantungan yang dikenakan terhadap mereka telahpun selesai.

“Dua jurulatih masing-masing didenda USD8,000 (RM32,676) manakala pengurus pasukan didenda USD10,000 (RM40,845) selain tempoh penggantungan juga selesai dijalani,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Tiga pemain utama itu ialah Phutawan Sopa, Wichan Temkort dan Jakkrit Thinbangbon manakala Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart adalah pemain simpanan.

Ketua jurulatih kebangsaan Narachit Kalachan dan penolong jurulatih Sahachat Sakhoncharoen merupakan dua jurulatih yang dikenakan tindakan manakala Auychai Srisuwan ialah pengurus pasukan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata berdasarkan Peraturan Prosedur Tatatertib ISTAF, sebarang denda yang gagal dilunaskan dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis hukuman akan menyebabkan individu terbabit digantung antara satu hingga dua tahun.

“Rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan notis hukuman dengan disertakan yuran sebanyak USD500,” katanya.

Beliau juga berkata keputusan itu ditandatangani pada 11 Ogos 2026 oleh anggota Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF yang terdiri daripada wakil dari lima negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement