LONDON: Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) dilapor sedang mengadakan perbincangan awal mengenai penganjuran kejohanan Nations League gabungan yang berpotensi melibatkan 96 negara daripada kedua-dua konfederasi.
Menurut laporan media antarabangsa, kejohanan dwitahunan itu berpotensi diperkenalkan seawal 2028, selepas berlangsungnya Kejohanan Eropah (Euro) seterusnya.
Walaupun rundingan masih di peringkat awal, kejohanan itu dijangka mengekalkan struktur berbilang liga seperti yang digunakan dalam Nations League UEFA dan CONCACAF sebelum diteruskan dengan fasa kalah mati bagi menentukan juara.
Berdasarkan cadangan awal, pasukan utama Eropah seperti Sepanyol, Perancis, England dan Jerman berpotensi berdepan kuasa utama CONCACAF termasuk Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada dalam Liga A.
Laporan itu turut menyebut perlawanan dijangka menggunakan jendela antarabangsa sedia ada pada September, Oktober dan November, sebelum diikuti pusingan kalah mati pada Mac serta perlawanan akhir pada Jun.
Cadangan kejohanan berkenaan muncul ketika hubungan antara beberapa konfederasi utama bola sepak dunia dan FIFA semakin tegang susulan kontroversi melibatkan cadangan penjualan pegangan komersial Piala Dunia yang dikaitkan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
UEFA, CONCACAF dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu tadbir urus FIFA, selain dilaporkan membincangkan pelbagai pilihan untuk mencabar kepimpinan Infantino menjelang pemilihan Presiden FIFA akan datang.