Skip to main content

Malaysia

Balai Seni Negara anjur Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 pada Sabtu

HARI TERBUKA PUSTAKA IMAGINASI 2026 -- FB Balai Seni Negara
Balai Seni Negara memaklumkan program berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang itu turut bertujuan menggalakkan budaya membaca, memperluas pengetahuan serta merangsang pemikiran kritis dan kreativiti masyarakat. - Gambar Facebook Balai Seni Negara
Advertisement

KUALA LUMPUR: Balai Seni Negara akan menganjurkan Program Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 Sabtu ini bagi memperkukuh peranan sebagai pusat rujukan dan pengumpulan data pelukis serta sumber berkaitan seni visual.

Balai Seni Negara memaklumkan program berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang itu turut bertujuan menggalakkan budaya membaca, memperluas pengetahuan serta merangsang pemikiran kritis dan kreativiti masyarakat.

Antara pengisian program ialah Pertandingan Bercerita, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Sembang Santai Buku, selain ruang jualan dan pameran untuk pengunjung.

“Pertandingan Bercerita menggunakan karya seni daripada Koleksi Tetap Balai Seni Negara sebagai asas penceritaan dengan peserta membina cerita berdasarkan imaginasi, emosi, watak atau mesej daripada karya yang ditetapkan.

“Pertandingan ini terbuka kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dan dibahagikan kepada Tahap 1 (7–9 tahun) dan Tahap 2 (10–12 tahun),” menurut Balai Seni Negara dalam kenyataan hari ini. 

Sebanyak 20 karya dipilih sebagai rujukan iaitu 12 karya daripada Pameran Perolehan Terkini: Recent Acquisition di Galeri 2A dan lapan karya daripada Pameran Cinta Buatan Malaysia 79-89 di Galeri Tun Razak, sekali gus memberi peluang kepada peserta meneroka seni melalui penceritaan berdasarkan tafsiran masing-masing.

Pertandingan Deklamasi Puisi pula terbuka kepada peserta berumur 13 tahun ke atas dengan tema “Seni, Imaginasi dan Kemanusiaan”, yang memerlukan peserta memilih dan mendeklamasikan puisi daripada penerbitan Koleksi Puisi: 55 Koleksi 55 Penulis 55 Puisi terbitan Balai Seni Negara.

“Sembang Santai Buku memberi tumpuan kepada buku sebagai sumber ilmu, inspirasi dan rujukan dalam memperkaya apresiasi seni, sejarah dan budaya.

“Sesi ini menampilkan kupasan novel Hidup Berjuang karya Mohamed Salehuddin yang merakam pengalaman masyarakat ketika zaman Perang Dunia Kedua, di samping mengetengahkan hubungan antara karya sastera, sejarah dan pemikiran kreatif,” menurut kenyataan itu. 

Sepanjang program, pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pendaftaran dan kemas kini biodata artis, pendaftaran keahlian NAG Friends serta khidmat nasihat mengenai Tabung Bantuan Seni (TBS), selain mengunjungi reruai jualan yang disediakan.

Balai Seni Negara merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor melalui Selangor Fruit Valley, Dermally Malaysia, Gardenia Malaysia, iGroup Malaysia melalui Access Dunia Sdn Bhd, serta Lemonjar Software Media Sdn Bhd dan Wonderbuuk melalui Edge Tech Engineering atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sebagai rakan penaja Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026.

Orang ramai dijemput hadir ke program berkenaan dan maklumat lanjut boleh layari laman www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement