BEKAS pencabar gelaran lightweight UFC, Michael Chandler menegaskan beliau masih belum berputus asa selepas tewas kepada Mauricio Ruffy dalam aksi UFC Freedom 250 di White House, minggu lalu.
Chandler mengalami kekalahan menerusi teknikal knockout (TKO) pada minit 4:29 pusingan pertama selepas Ruffy mempamerkan aksi dominan dalam pertarungan lightweight tersebut.
Kekalahan itu menjadi tamparan terbaharu buat Chandler yang kini sedang melalui fasa sukar dalam karier UFC.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Chandler mengakui keputusan pertarungan itu tidak memihak kepadanya, namun menegaskan beliau masih berada dalam keadaan baik.
“Jelas sekali pertarungan itu tidak berjalan seperti yang saya mahukan, tetapi semangat saya masih baik. Saya gembira dan saya sihat,” kata Chandler.
Petarung berusia 40 tahun itu turut menyifatkan dirinya sebagai individu yang sukar dijatuhkan, sambil menegaskan kekalahan tersebut tidak akan menghentikan perjalanannya dalam sukan itu.
Chandler turut mendedahkan beliau mengalami kecederaan kecil di bahagian telinga selepas terkena tumbukan Ruffy.
“Secara fizikal, saya baik. Saya sedikit cedera dan terkena tumbukan di telinga sehingga terkoyak. Tetapi pujian harus diberikan kepada Mauricio Ruffy,” katanya.
Menurut Chandler, Ruffy merupakan lawan yang sukar dibaca kerana memiliki kelebihan dari segi jangkauan, kelajuan, ketepatan serta kualiti striking.
“Dia panjang, pantas, tepat dan seorang striker yang bagus. Dia mendaratkan serangan yang menamatkan pertarungan,” katanya lagi.
Kekalahan kepada Ruffy meneruskan rentetan prestasi kurang baik Chandler dalam UFC.
Sejak menyertai UFC pada 2021, Chandler kini mencatat dua kemenangan dan enam kekalahan dalam organisasi tersebut.
Beliau juga tewas dalam empat pertarungan terakhir, termasuk kepada Dustin Poirier, Charles Oliveira, Paddy Pimblett dan terbaharu Ruffy.
Namun, Chandler tidak menyebut sebarang kemungkinan untuk bersara.
Sebaliknya, beliau menegaskan kekalahan tersebut akan dijadikan ruang untuk menilai semula pendekatan dan kembali dengan pengalaman lebih matang.
“Ada masa dalam hidup apabila semua orang melihat bagaimana kita bertindak balas. Saya berjanji, seperti sebelum ini, saya akan terus bertindak balas seperti seorang juara,” katanya.
Chandler turut menegaskan beliau telah membuat persiapan terbaik untuk pertarungan itu dan tidak mahu memberikan alasan terhadap kekalahan yang dialaminya.
Katanya, beliau percaya kekalahan perlu dilihat sebagai peluang untuk kembali dengan lebih baik, bukan sebagai penamat kepada perjalanan seseorang atlet.
“Ini masanya untuk kembali bangkit. Ini masanya untuk terus bergerak ke hadapan seperti biasa,” ujarnya.
Chandler sebelum ini merupakan antara nama besar dalam divisyen lightweight selepas tiba ke UFC sebagai bekas juara Bellator.
Beliau pernah mencabar Charles Oliveira bagi gelaran lightweight UFC pada 2021, namun tewas menerusi TKO pada pusingan kedua.
Walaupun mencatat beberapa kekalahan, Chandler kekal dikenali sebagai antara petarung paling agresif dan menghiburkan dalam divisyen tersebut.
Bagi Ruffy pula, kemenangan ke atas Chandler menjadi antara kejayaan terbesar dalam kariernya setakat ini.
Petarung Brazil itu kini mencuri perhatian dalam divisyen lightweight selepas menewaskan seorang nama berpengalaman dengan cara yang meyakinkan.
Kemenangan tersebut juga dijangka meningkatkan kedudukan Ruffy dalam persaingan divisyen 155 paun, manakala Chandler perlu menentukan langkah seterusnya selepas satu lagi kekalahan besar dalam UFC.
-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.