Skip to main content
Advertisement

Sukan

Zidane bakal rombak skuad Perancis hadapi Belgium

Soccer Football - Nations League - France Training - INF Clairefontaine, Clairefontaine-en-Yvelines, France - September 21, 2026 France coach Zinedine Zidane during training REUTERS/Gonzalo Fuentes
Menurut Zidane, jadual padat yang menyaksikan Perancis mengharungi empat perlawanan dalam tempoh singkat memerlukan penggiliran pemain bagi memastikan pasukan kekal segar. - Gambar Reuters
Advertisement

BRUSSELS: Ketua jurulatih Perancis, Zinedine Zidane mengesahkan beliau akan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Belgium pada Isnin.

Keputusan itu dibuat selepas kapten pasukan, Kylian Mbappe mengalami kecederaan ketika membantu Perancis menewaskan Turkiye 1-0 dalam perlawanan pertama Zidane sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Mbappe menjaringkan gol kemenangan dalam aksi tersebut sebelum terpaksa dikeluarkan dan kini kembali ke kelabnya, Real Madrid untuk menjalani rawatan lanjut.

Menurut Zidane, jadual padat yang menyaksikan Perancis mengharungi empat perlawanan dalam tempoh singkat memerlukan penggiliran pemain bagi memastikan pasukan kekal segar.

"Sudah pasti akan ada perubahan. Berapa ramai pemain yang akan ditukar, anda akan lihat esok.

"Kami tahu akan mengharungi empat perlawanan dalam tempoh yang sangat singkat, terutama antara aksi menentang Turkiye dan Belgium yang melibatkan perjalanan jauh. Jadi kami perlu melakukan sedikit penggiliran," katanya pada sidang media praperlawanan.

Perlawanan di Brussels merupakan yang kedua daripada empat aksi Perancis sepanjang jendela antarabangsa kali ini.

Selepas itu, Les Bleus akan melayan kunjungan Itali di Paris pada Jumaat sebelum sekali lagi bertemu Belgium di Stade de France pada 5 Oktober.

Zidane berkata, fokus utamanya ketika ini adalah membina persefahaman dengan pemain serta memastikan mereka memahami corak permainan dan kehendak taktikal yang ingin diterapkan.

"Segala-galanya penting, tetapi perkara paling utama ialah mengenali antara satu sama lain.

"Kami sentiasa mahu membuat persiapan terbaik walaupun masa latihan terhad. Banyak perkara juga boleh dilakukan menerusi analisis video.

"Pada masa sama, kami mahu menang kerana kami semua adalah pesaing. Setiap kali turun ke padang, matlamat kami adalah untuk meraih kemenangan," katanya.

Mengulas mengenai cabaran Belgium, legenda bola sepak Perancis itu menjangkakan perlawanan sukar menentang pasukan bimbingan Mark van Bommel yang memulakan kempen Kumpulan A1 dengan kemenangan 2-0 ke atas Itali di Rome, Jumaat lalu.

"Belgium juga mempunyai jurulatih baharu yang sedang membentuk identiti pasukan. Mereka memiliki skuad yang sangat baik dan beberapa pemain berkualiti tinggi.

"Secara keseluruhan, kami tahu akan berdepan perlawanan yang sukar. Namun inilah cabaran yang menarik. Apabila anda kompetitif dan gemar bermain bola sepak, anda mahu beraksi dalam perlawanan besar seperti ini," katanya.

Pemenang Piala Dunia 1998 itu turut mengingatkan pemain supaya menghargai peluang menyarung jersi kebangsaan kerana karier bola sepak berlalu dengan pantas.

"Terdapat banyak perlawanan hebat menanti dan pemain perlu menikmati setiap detik.

"Saya sentiasa mengingatkan mereka bahawa masa berlalu begitu cepat. Hari ini saya berusia 54 tahun dan tidak lagi mampu bermain. Jadi nikmatilah saat-saat ini kerana peluang mewakili Perancis adalah sesuatu yang sangat istimewa," katanya.- Agensi

Must Watch Video

Advertisement