SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor mengenal pasti lebih 10 pilihan tapak tanah di negeri ini sebagai proses penggantian tanah bagi membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemaju masih dalam proses penelitian termasuk nilai tanah yang perlu bersesuaian dengan kos keseluruhan kompleks berkenaan.

Menurut beliau, proses penggantian itu tidak semestinya dilakukan secara sekali gus namun secara berperingkat.

"Kita sudah membuat tawaran (tanah itu) dan kini dalam proses akhir untuk memuktamadkannya," katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Smart Desa di Kampung Sungai Air Tawar, di sini, pada Jumaat.

Amirudin memberitahu, semua tanah yang sedang dinilai itu termasuk beberapa kawasan di Hulu Selangor dan Klang.

Jelas Amirudin, pembinaan kompleks itu hanya akan dimulakan selepas semua proses penggantian tanah selesai.

"Kita sememangnya turut bergantung kepada kemajuan proses berkenaan.

"Tindakan perobohan Stadium Shah Alam itu akan dijalankan kelak dan saya menjangkakan bermula tahun ini," ujarnya.

Tambah beliau, pembinaan KSSA itu bukan hanya menumpukan perobohan stadium semata-mata malah melibatkan keseluruhan projek tersebut.

Pada 14 Mac lalu, Amirudin memaklumkan beberapa pilihan tapak tanah di Klang dan Hulu Selangor diteliti bagi pembiayaian kos pembangunan KSSA tersebut.

Kawasan Pulau Carey tiada dalam senarai itu berikutan difokuskan bagi pembinaan pelabuhan ketiga di Selangor dan projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS). - Sinar Harian