SELEPAS Philippe Coutinho berhijrah ke Barcelona dengan nilai perpindahan £146 juta (RM770 juta), peminat Liverpool tertanya-tanya siapakah pengganti Coutinho.

Adakah pengurus Liverpool, Jurgen Klopp akan mencari pemain yang mampu menggalas tugas yang sama seperti Coutinho atau mengaplikasi taktikal yang berbeza dengan mencari pemain posisi lain?

Kita lihat siapa pilihan peminat untuk menggantikan tempat pemain Brazil itu.

Riyad Mahrez terbukti hebat di Premier League.
Riyad Mahrez - Leicester City

Bagi wakil kelab penyokong All Reds Malaysia, Mustakim Mokhtar dan Mikael Hidayat, Mahrez adalah calon yang sesuai kerana seorang pemain yang bijak dan mahir mencipta gol selain kemampuannya itu sudah terbukti dalam Premier League (Liga Perdana Inggeris).

Malah, Mahrez boleh digunakan untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Julian Draxler (baju kuning) pernah dikaitkan dengan penghijrahan ke Liverpool sebelum ke PSG. Julian Draxler - Paris St. Germain (PSG)

Mustakim juga menyenaraikan pemain Jerman, Julian Draxler yang tidak digunakan sebagai kesebelasan utama PSG kerana dia bermain posisi yang sama seperti Coutinho selain mempunyai kebolehan mengelecek pemain lawan.

Lain-lain faktor ialah Draxler seorang warga Jerman dan mempunyai mentaliti seorang pemain bola sepak Jerman seperti juga Klopp.

Alexis Sanchez yang diburu Manchester City dikatakan calon yang paling sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Coutinho.
Alexis Sanchez - Arsenal

Sementara penyokong Liverpool lain seperti Shamsul Bahri Hasamdin, menggemari pemain Chile, Sanchez yang mahu berhijrah keluar dari Arsenal.

Kontrak Sanchez akan tamat hujung musim ini dan Arsenal berpeluang untuk mengaut keuntungan daripada jualan pemain itu.

Sanchez juga terbukti dalam saingan Premier League namun sikapnya merisaukan peminat kerana kadang-kala bertindak tidak profesional di dalam dan luar padang.

Pierre-Emerick Aubameyang adalah anak didik pengurus Liverpool, Jurgen Klopp semasa beliau berkhidmat di kelab Jerman itu.
Pierre-Emerick Aubameyang - Borussia Dortmund

Bekas pemain Sarawak, Rayjal Abdul Jalil, pula mengharapkan kehadiran Aubameyang yang dianggap sentiasa menyinar di bawah kendalian Klopp.

Pemain antarabangsa Gabon itu menyertai Dortmund semasa Klopp mengendali kelab itu dan amat menghormati pengurus dari Jerman itu.

Aubameyang yang dilaporkan terdesak mahu meninggalkan Dortmund sudahpun menjaringkan 17 gol daripada 19 perlawanan.

Manuel Lanzini dari West Ham meraikan jaringan gol ke atas Liverpool pada November 2017.
Manuel Lanzini - West Ham United

Pemain Argentina Manuel Lanzini, beraksi untuk kelab West Ham United.

Abdul Rashid dari All Reds Malaysia menyifatkan Lanzini sebagai seorang pemain yang pandai menggelecek, bijak menghantar bola, mempunyai sifat kepimpinan di atas padang dan seorang 'team player'.

Bagi Rashid, Lanzini adalah versi Coutinho yang lebih muda dan mempunyai semua kemampuan yang dimiliki Coutinho.

Lanzini belum mencapai puncak permainannya lagi tetapi mempunyai asas yang kuat untuk dibangunkan sebagai seorang pemain bertaraf dunia.

Nama-nama lain yang disebut peminat adalah Dele Alli (Tottenham Hotspur) kerana dia adalah peminat Liverpool, Thomas Lemar dari Monaco dan Paulo Dybala (Juventus).

Bagi menguatkan lagi bahagian pertahanan Liverpool, Raphael Li dari Hong Kong mencadangkan pemain Roma, Radja Nainggolan.

Pemain antarabangsa Belgium, Nainggolan bermain sebagai pemain tengah pertahanan, mempunyai kebolehan 'set-piece' yang hebat selain posisinya itu amat diperlukan 'the Reds' bagi mengukuhkan lagi pertahanan.