AFCON 2025: Salah cemerlang, Mesir tewaskan Benin dalam masa tambahan untuk mara ke Suku Akhir

Mohamed Salah, sekali lagi menjadi inspirasi apabila Mesir menewaskan Benin 3-1 selepas masa tambahan dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025, awal pagi tadi. - Gambar Reuters
MOHAMED Salah, sekali lagi menjadi inspirasi apabila Mesir menewaskan Benin 3-1 selepas masa tambahan dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025, awal pagi tadi.
Perlawanan berakhir 1-1 dalam masa sebenar sebelum Mesir meningkatkan tempo permainan di masa tambahan untuk memastikan kemaraan ke suku akhir.
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, namun Mesir akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-70 menerusi Marwan Attia.
Pemain tengah itu melepaskan rembatan lencong cantik dari jarak 25 meter ke penjuru atas gawang, hasil gerakan kemas yang bermula daripada gandingan Mohamed Salah dan Mohamed Hany.
Benin bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-83. Percubaan awal mereka berjaya ditepis oleh Mohamed El Shenawy, namun Jodel Dossou pantas menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol penyamaan dan memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Mesir kembali mendahului pada minit ketujuh masa tambahan apabila pertahanan tengah, Yasser Ibrahim, menanduk masuk hantaran tepat hasil sepakan sudut pendek yang disempurnakan oleh Marwan Attia.
Tandukan tersebut melambung melepasi jangkauan penjaga gol Benin, Marcel Dandjinou.
Ketika Benin mengasak bagi mencari gol penyamaan, Mesir menghukum mereka menerusi jaringan penutup oleh Salah.
Bintang Liverpool itu melakukan larian solo dari kawasan sendiri sebelum tenang menyepak bola melepasi Dandjinou yang keluar meninggalkan gawang.
Kemenangan ini mengesahkan kemaraan Mesir, juara tujuh kali AFCON, ke peringkat suku akhir, manakala Benin menamatkan kempen mereka di pusingan 16 terbaik, pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara itu di kejohanan berprestij Afrika tersebut.
Di suku akhir, Mesir bakal berdepan pemenang perlawanan pusingan 16 antara juara bertahan Côte d’Ivoire dan Burkina Faso yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


