Ringkasan AI
- Malaysia mengekalkan larangan eksport bahan mentah mineral kritikal, namun bersetuju membekalkan sumber yang telah diproses kepada Perancis melalui kerjasama pelaburan tempatan.
- Projek perindustrian antara Carester dari Perancis dan Malaco Mining Group Malaysia dijangka mula beroperasi awal 2027, melibatkan pengekstrakan dan pemprosesan di Malaysia.
- Kerjasama turut melibatkan Biro Penyelidikan Geologi dan Perlombongan Perancis (BRGM) serta sokongan Perancis terhadap projek Grid Tenaga ASEAN yang diketuai Malaysia.
KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan dasar tidak mengeksport bahan mentah mineral kritikal termasuk unsur nadir bumi, namun bersetuju membekalkan sumber yang telah diproses di dalam negara kepada Perancis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan tersebut membolehkan Malaysia meraih manfaat pemindahan teknologi serta peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan tanpa mengorbankan sumber asli secara mentah.
Menurutnya, Perancis menjadi rakan kerjasama yang memenuhi syarat ketat itu apabila bersetuju melabur dalam kemudahan pemprosesan di Malaysia serta bekerjasama secara langsung dengan syarikat tempatan.
“Di sini Tuan Presiden, kita telah melakukan sesuatu yang unik dalam soal mineral kritikal. Kita tidak mengeksport bahan mentah.
“Namun bersama Perancis, anda melakukannya kerana anda komited kepada pemprosesan serta bekerjasama dengan rakyat Malaysia sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini pada Selasa.
Sementara itu, Macron menyambut baik syarat berkenaan dan mengesahkan bahawa projek perindustrian antara syarikat Perancis, Carester dan syarikat tempatan, Malaco Mining Group akan memulakan operasi pada awal tahun 2027.
Beliau menjelaskan projek yang dirintis susulan lawatan rasmi Anwar ke Paris tahun lalu itu merangkumi aktiviti pengekstrakan serta pemprosesan di Malaysia, sebelum jumlah kapasiti yang dikhaskan dihantar untuk penapisan akhir di Perancis bagi memenuhi keperluan rantaian nilai negara itu.
“Pelancaran operasinya adalah seawal awal tahun 2027 yang akan membolehkan kita melaksanakannya dalam semangat saling menghormati, bukan sahaja melibatkan pengekstrakan, tetapi juga pemprosesan di sini (Malaysia), selain jumlah serta kapasiti yang akan dikhaskan termasuk kemungkinan untuk melakukan penapisan di Perancis,” katanya dalam sidang media berkenaan.
Tambah Macron, kerjasama tersebut turut diperkukuh menerusi perikatan bersama Biro Penyelidikan Geologi dan Perlombongan Perancis (BRGM) yang akan menempatkan seorang pakar teknikal di Malaysia bagi membantu pembangunan industri mineral kritikal negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan Malaysia turut mengharapkan sokongan Perancis dalam menjayakan projek Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid) memandangkan Malaysia kini menjadi pangkalan utama bagi inisiatif tenaga serantau tersebut.
Jelas beliau, projek grid itu melibatkan kabel dasar laut dari Vietnam ke utara Semenanjung Malaysia dan Singapura, laluan darat dari Laos dan Thailand, serta kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan negara jiran.
Beliau turut berkongsi kesediaan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr untuk menyambungkan grid tenaga berkenaan dari Sabah ke selatan Filipina, selain cadangan menyalurkan tenaga dari Sarawak ke Indonesia.
Anwar turut menyentuh hubungan kukuh antara Petronas dan syarikat tenaga gergasi Perancis, TotalEnergies dalam pelaburan tenaga di pelbagai benua, selain usaha Sunway Group membawa masuk model projek hijau mereka di Perancis untuk dilaksanakan di Malaysia termasuk di Sarawak.