KOTA BHARU: TRW Kelantan FC melantik Pengerusi Hal Ehwal Usahawan PAUiTM Malaysia Ahmad Muzakkir Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab berkenaan berkuat kuasa hari ini.

TRW Kelantan FC dalam kenyataan memaklumkan graduan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam pembangunan sukan khususnya bola sepak dan juga seorang usahawan.

"Beliau (Ahmad Muzakkir) juga merupakan watak penting penjualan 100 peratus saham Kelantan FC daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman pada 3 Sept 2020.

"Pengalaman luas dalam dunia korporat dan pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA tentu sahaja boleh membantu masa depan Kelantan FC," menurut kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahmad Muzakkir ketika dihubungi berkata beliau amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh TRW Kelantan FC terhadapnya untuk menerajui kelab itu.

"Bagi mencapai kejayaan saya tidak mampu melakukannya berseorangan, saya perlu bantuan daripada semua pihak, dari pengurusan sehingga pemain serta rakan-rakan lain.

Ahmad Muzakkir turut mengucapkan terima kasih kepada Norizam atas kepercayaan yang diberikan itu.

"Hari ini saya bersama Norizam berganding bahu untuk menuju satu jalan iaitu kejar sebuah kejayaan," katanya.

-- BERNAMA