KUALA LUMPUR: Kapten skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara Mohamad Akhimullah Anuar Esook muncul wira pasukan apabila meledak jaringan berganda untuk membantu Malaysia mengatasi Amerika Syarikat (AS) 3-2 dalam kejohanan Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman pada Ahad.

Kemenangan itu sekali gus memberikan Malaysia tiga mata untuk menduduki tangga kedua Kumpulan D, mengumpulkan empat mata dengan pasukan tuan rumah Oman berada di tangga teratas kumpulan setelah mengumpul jumlah mata yang sama tetapi mempunyai kelebihan jaringan gol.

AS (tiga mata) dan Fiji (tiada mata) pula masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat kumpulan.

Pada aksi Kumpulan D yang berlangsung di Hockey Oman Venue, pasukan negara di bawah kendalian Wallace Tan mendominasi permainan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 hasil jaringan padang Mohamad Akhimullah.

Jaringan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat AS untuk menyamakan kedudukan menerusi gol padang Harris Pat pada minit ke-17 sebelum pasukan negara kembali di depan apabila Syarman Mat Tee meledak gol padang lima minit kemudian.

Tidak cukup dengan itu, asakan Malaysia ke kubu pasukan lawan untuk memburu jaringan, membuahkan hasil apabila Mohamad Akhimullah sekali lagi membolosi gawang pasukan lawan dengan gol padang pada minit ke-25 sebelum Pat menghadiahkan gol kedua AS dua minit kemudian.

Malaysia dijadual bertemu Fiji bagi aksi terakhir Kumpulan D pada petang Isnin.

Semalam, skuad negara mengikat Oman 3-3 pada aksi pertama peringkat kumpulan.

-- BERNAMA