Pemain sayap Pahang, Azamuddin Akil kempunan untuk aksi pembukaan musim ini apabila sekadar menjadi penonton dalam perlawanan Piala Sumbangsih dengan Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin Sabtu ini.

Azamuddin yang turut dikenali sebagai Alex masih belum cergas sepenuhnya susulan kecederaan lutut kanan yang menimpanya ketika menyarung jersi Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF Suzuki yang lalu.

Bagaimanapun Alex yakin jurulatih Zainal Abidin Hassan mempunyai strategi yang ampuh untuk menyekat pasukan JDT yang dilihat semakin mantap dengan kehadiran beberapa muka baru.

Menurut pemain berasal dari Kuala Lipis itu lagi, "Saya harap akan cepat pulih. Walaupun terkilan tidak dapat beraksi dalam Piala Sumbangsih, tapi saya mahu pulih sepenuhnya untuk membantu Pahang dalam meraih lebih banyak kejayaan lagi."