SUKAN
Al-Nassr ikat Inigo Martinez selepas tinggalkan Barcelona

Inigo Martinez sah menyertai kelab Al-Nassr selepas meninggalkan juara La Liga, Barcelona, umum kelab Liga Pro Saudi itu pada Ahad. - Gambar fail Reuters
RIYADH: Pertahanan Sepanyol, Inigo Martinez sah menyertai kelab Al-Nassr selepas meninggalkan juara La Liga, Barcelona, umum kelab Liga Pro Saudi itu pada Ahad.
Martinez menjadi pembelian besar kedua skuad kendalian Jorge Jesus pada musim panas ini, selepas Al-Nassr terlebih dahulu mendapatkan khidmat penyerang Portugal, Joao Felix daripada Chelsea.
“Al-Nassr secara rasmi menandatangani kontrak bersama bintang Sepanyol, Inigo Martinez, sebagai ejen bebas,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Kontrak Martinez bersama Al-Nassr akan berkuat kuasa sehingga 2026.Pemain berusia 34 tahun itu membantu Barcelona merangkul treble domestik musim lalu.
Beliau memulakan karier bersama Real Sociedad sebelum berhijrah ke Athletic Bilbao pada 2018 dan kemudiannya menyertai Barca pada 2023.
Setakat ini, Martinez telah meraih 21 kaps bersama skuad kebangsaan Sepanyol.
Al-Nassr yang baru sahaja memanjangkan kontrak Cristiano Ronaldo untuk dua musim lagi, dijadualkan berdepan Al-Ittihad pada separuh akhir Piala Super Saudi pada 19 Ogos. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami