SPORTS
Arsenal gagal manfaatkan kelebihan, pesta kejuaraan EPL Liverpool tangguh lagi

Jean-Philippe Mateta (kiri) meraikan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua ketika perlawanan EPL antara Arsenal dan Crystal Palace di Stadium Emirates, London, 23 Apr 2025. (Foto AP)
ARSENAL dan Crystal Palace terikat 2-2 di Stadium Emirates pada Khamis, menyaksikan Liverpool menangguhkan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kedua dalam tempoh lima musim.
Skuad bimbingan Arne Slot kini hanya memerlukan keputusan seri menentang Tottenham Hotspur di Anfield pada Ahad ini untuk merangkul gelaran liga ke-20, menyamai rekod milik gergasi Inggeris, Manchester United.
Pertemuan di London menyaksikan kedua-dua pengendali merehatkan beberapa pemain utama bagi menghadapi aksi separuh akhir pentas Eropah dan domestik.
Arsenal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), manakala Palace akan bertemu Aston Villa di separuh akhir Piala FA.Arsenal bermula cemerlang apabila Jakub Kiwior menanduk masuk sepakan percuma Martin Odegaard pada minit ketiga.
Palace kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi voli Eberechi Eze hasil lorongan Adam Wharton.
Leandro Trossard kembali meletakkan Arsenal di depan sebelum rehat selepas menerima hantaran Jurrien Timber menewaskan Dean Henderson.
Separuh masa kedua, Palace terus memberi tekanan memperoleh gol penyamaan melalui pemain gantian, Jean-Philippe Mateta, yang bijak memanfaatkan kesilapan William Saliba bagi menewaskan David Raya minit ke-83.
Keputusan seri ini merupakan kali ke-13 Arsenal terikat dalam saingan liga dan terus menjejaskan peluang mereka dalam perebutan kejuaraan.
Arteta menurunkan barisan kompetitif formasi 4-3-3, dengan Bukayo Saka hanya dimasukkan sebagai pemain gantian susulan kecederaan buku lali.
Trossard yang mengisi posisi penyerang tengah menunjukkan prestasi meyakinkan, menjaringkan gol keempatnya dalam empat perlawanan terakhir – menyamai jumlah keseluruhan dalam 31 penampilan sebelum ini.
Palace bimbingan Oliver Glasner yang menstabilkan pasukan dengan formasi 3-4-2-1 kini menghuni tangga ke-12 liga mengintai slot Eropah menerusi kejayaan di Piala FA. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami